SEOUL: Permintaan dalam industri cip ingatan (memory chip) sedang mengalami kemerosotan bersejarah, dengan kejatuhan terburuk dalam dua tempoh enam bulan pada akhir tahun lalu.
Menurut laporan Bloomberg, data daripada TrendForce menunjukkan, harga purata untuk DRAM, ingatan (memory) yang digunakan untuk menghidupkan telefon dan komputer peribadi (PC), menjunam sebanyak 34.4 peratus pada suku keempat, selepas jatuh 31.4 peratus pada suku sebelumnya.
Storan ingatan (NAND), yang merupakan produk utama dijual kepada pusat data dan pelanggan perusahaan, bagaimanapun mengalami kejatuhan lebih kecil, namun prestasi terburuk sejak 2006.
Kebanyakan pembuat cip ingatan mengurangkan pengeluaran dan menangguhkan rancangan pengembangan pada separuh kedua 2022 sebagai tindak balas kepada kelemahan ekonomi global.
“Micron Technology Inc, SK Hynix Inc dan Kioxia Holdings Corp mengumumkan langkah untuk menstabilkan pasaran dengan mengekang lebihan bekalan,” lapor Bloomberg.
Samsung Electronics Co, pembekal ingatan terbesar di dunia, setakat ini enggan mengubah haluan dan berpegang kepada pelan perbelanjaan modal agresif yang akan menyaksikan ia membelanjakan lebih daripada AS$30 bilion (RM132.9 bilion) dalam membina kapasiti selanjutnya pada tahun ini, jelas laporan itu.
Menurutnya, Samsung mempertaruhkan pertumbuhan jangka panjang untuk produk ingatan yang didorong oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan awan yang ‘dahagakan’ penyimpanan, kesalinghubungan dan sistem kecerdasan buatan (AI).
Mengenai jangkaan pendapatan terbaharunya, syarikat elektronik itu berkata, ia menjangkakan pasaran telefon pintar akan menyusut lagi tahun ini, tetapi melihat produk AI seperti ChatGPT akan mencetuskan peningkatan dalam permintaan. – AGENSI










