BENGALURU: India mahu meningkatkan eksport aset pertahanan sebanyak tiga kali ganda kepada AS$5 bilion menjelang 2024/25 daripada AS$1.5 bilion pada masa ini, kata Perdana Menteri Narendra Modi, ketika merasmikan Pameran Aero India, semalam.
Negara itu dilaporkan bakal menandatangani perjanjian pertahanan bernilai 750 bilion rupee (AS$9 bilion) pada acara twitahunan tersebut yang berlangsung selama lima hari, lapor Reuters.
Pameran terbesar itu diadakan ketika syarikat penerbangan India dilaporkan cuba menyelesaikan pembelian pesawat untuk memenuhi permintaan awam.
India dilaporkan memberi tekanan kepada pengeluar pesawat global untuk menghasilkan lebih banyak pesawat di dalam negara, terutamanya melalui perkongsian dengan syarikat tempatan.
“Hari ini, India bukan sekadar pasaran untuk syarikat pertahanan, ia juga bakal menjadi rakan kongsi pertahanan. Saya menyeru sektor swasta India untuk melabur lebih banyak lagi dalam sektor pertahanan negara.” kata Modi dalam ucapannya di pameran itu.
Modi berkata, India, selama beberapa dekad menjadi antara pengimport peralatan pertahanan terbesar dunia, kini mengeksport peralatan pertahanan ke-75 negara.
Sebelum ini, India mengeksport helikopter Hindustan Aeronautics (HAL) Dhruv ke Filipina, Mauritius dan Ecuador; dan peluru berpandu supersonik BrahMos Aerospace dihasilkan dengan kerjasama Russia ke Filipina. HAL juga telah menawarkan pesawat tempur ringan jenis Tejas untuk dijual ke Malaysia.
Pempamer di pameran itu termasuk Airbus, Boeing, Dassault Aviation, Lockheed Martin, Industri Aeroangkasa Israel, BrahMos, SAAB, Rolls Royce, Larsen & Toubro, HAL dan Bharat Electronics Ltd.
Syarikat penerbangan India juga semakin berkembang dengan Tata Group Air India dijangka mengumumkan potensi perjanjian untuk membeli hampir 500 jet daripada Airbus dan Boeing, bernilai lebih AS$100 bilion. – AGENSI










