NEW YORK: Niaga hadapan gandum di Chicago menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan berikutan kebimbangan Russia akan memperhebatkan tindakan ketenteraannya di Ukraine.
Langkah itu dikhuatiri menimbulkan ancaman kepada penanaman dan penuaian komoditi itu di negara berkenaan yang merupakan pengeluar utama gandum dunia, selain mengurangkan eksport melalui Laut Hitam.
Harga gandum (makanan ruji bagi sesetengah negara), hanya susut 0.3 peratus daripada penutupan AS$8.0075 (RM34.90) segantang pada Isnin, paras paling kukuh sejak 23 November lalu, lapor Bloomberg.
Harga sebaliknya melonjak pada Jumaat lepas apabila Russia melancarkan serangan peluru berpandu terbesar ke atas Ukraine setakat tahun ini.
Kerosakan infrastruktur atau konflik yang semakin teruk akan menghalang penghantaran gandum, yang setakat ini hanya kira-kira satu pertiga daripada penghantaran musim lalu.
Kadar eksport itu bagaimanapun bertambah baik daripada awal musim apabila Inisiatif Bijian Laut Hitam menyokong penghantaran melalui laut.
“Perjanjian itu akan diperbaharui pada pertengahan Mac, namun tidak jelas pada masa hadapan. Penyelaras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi inisiatif itu menggesa pelanjutan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan dan diplomat minggu lalu,” menurut satu kenyataan kepada media.
Ukraine meluluskan cadangan untuk meningkatkan eksport bijirin kepada 25,000 tan. Namun, ia mungkin mengambil masa kira-kira 1.5 bulan sehingga kapal bersaiz lebih besar berupaya meningkatkan jumlah eksport bijirin dan minyak bijan disebabkan kadar pemeriksaan kapal yang perlahan, menurut Kementerian Infrastruktur.
Di pasaran lain, harga jagung dan kacang soya sedikit berubah. Kacang soya berada dalam aliran meningkat sejak Oktober, kerana kemarau menjejaskan tanaman di Argentina dan pengeluaran di selatan Brazil. – AGENSI










