BENGALURU: Harga emas melanjutkan kenaikan semalam, ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sembilan bulan selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Emas spot naik 0.1 peratus pada AS$1,951.79 setiap auns, selepas mencecah paras tertinggi sejak April 2022 pada awal sesi. Niaga hadapan emas AS pula menokok 1.3 peratus kepada AS$1,967.40.
Fed mengumumkan kenaikan kadar 25 mata asas kelmarin, selepas setahun kenaikan yang lebih besar. Bagaimanapun, Pengerusi Fed, Jerome Powell memberi amaran mengenai pengetatan dasar monetari selanjutnya sambil menyifatkan disinflasi berjaya mencatat kemajuan namun masih di peringkat awal.
“Walaupun Powell berkata kenaikan kadar mungkin berterusan, pasaran menjangkakan Fed tidak lagi bertindak drastik, iaitu menyokong emas.
“Bagaimanapun, tidak lama lagi kita akan melihat beberapa tempahan keuntungan dan jongkong terus menghadapi rintangan pada paras AS$1,960,” kata Brian Lan, pengarah urusan di pengedar GoldSilver Central berpangkalan di Singapura, lapor Reuters.
Kata beliau, melangkah ke hadapan, peniaga akan memberi tumpuan kepada data ekonomi dan komen pegawai Fed untuk arahan selanjutnya.
Emas cenderung mendapat manfaat dalam persekitaran kadar faedah yang lebih rendah, kerana ia mengurangkan kos peluang untuk memegang jongkong yang tidak menghasilkan keuntungan.
Jika terdapat lebih banyak tanda kelembapan dalam ekonomi AS dan Fed terus menurunkan kadar, maka permintaan pelabur terhadap emas akan meningkat, kata Caesar Bryan, pengurus portfolio di Gabelli Gold Fund.
Sementara itu, Bank England dan Bank Pusat Eropah dijangka menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas.
Indeks dolar jatuh 0.3 peatus. Dolar AS yang lebih lemah menjadikan jongkong berdasarkan mata wang itu lebih menarik bagi pembeli yang memegang mata wang lain.
Dalam pada itu, perak spot naik 0.8 peratus kepada AS$24.17 seauns, meningkatkan paras tertinggi dalam seminggu, sementara platinum naik 0.6 peratus kepada AS$1,009.69 dan paladium turun 0.2 peratus kepada AS$1,665.82. – AGENSI










