PETALING JAYA: FWD Group Holdings Limited (FWD Group) dan pelabur lain membeli sebanyak 70 peratus saham dalam Gibraltar BSN yang dijual oleh Prudential Insurance Company of America, anak syarikat milik penuh Prudential Financial Inc.
Menurut FWD Group, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memegang baki 30 peratus saham.
Jelasnya, urus niaga itu dijangka selesai pada suku kedua 2023.
“Setelah selesai urus niaga, FWD Group akan bekerjasama dengan BSN untuk terus membangunkan dan mengembangkan Gibraltar BSN,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pembelian saham itu akan membolehkan Kumpulan memasuki pasaran insurans hayat di Malaysia.
“Pelanggan sedia ada dan saluran pengedaran di Gibraltar BSN tidak akan terjejas oleh perumahan pemilikan ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan FWD Group, Huynh Thanh Phong berkata, Kumpulan akan menawarkan perkhidmatan yang komprehensif di Malaysia dan akan dapat menawarkan kedua-dua penyelesaian iaitu takaful keluarga dan insurans hayat dalam pasaran yang berkembang pesat dan mempunyai potensi pertumbuhan jangka masa panjang.
“Kami teruja untuk menyediakan produk dan perkhidmatan digital kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Dengan perkembangan strategik ini, kami juga melengkapkan perniagaan kami merentasi pasaran utama di Asia Tenggara pada ulang tahun FWD Group ke-10. Visi kami untuk mengubah pandangan orang ramai tentang takaful dan insurans kekal sebagai visi yang membimbing kerja kami,” katanya.
Menurut syarikat itu, Malaysia adalah pasaran insurans hayat keempat terbesar berdasarkan premium di Asia Tenggara dengan asas makroekonomi yang sangat menarik dan demografi yang menggalakkan.
FWD Group memasuki pasaran Malaysia pada Mac 2019 sebagai penyedia produk takaful keluarga, termasuk hayat bertempoh, penyakit kritikal, kanser, manfaat tunai hospital dan perlindungan perubatan.
Pengarah Urusan, Pasaran Baharu Muncul dan Ketua Pegawai Pengedaran Kumpulan, Binayak Dutta pula berkata, kerjasama dengan BSN merupakan komitmen Kumpulan terhadap pasaran Malaysia dan berharap dapat memainkan peranan dalam pertumbuhan dan pembangunan sektor takaful dan insurans di Malaysia.
“Sejak penubuhan, perniagaan kami di Malaysia telah berkembang baik. Sumbangan bertulis kasar kami telah meningkat sebanyak 173 peratus pada tahun penuh pertama kami beroperasi, menubuhkan hab teknologi dan inovasi serantau kami di Kuala Lumpur dan, bekerjasama dengan perusahaan sosial terkemuka di Malaysia untuk membangunkan Fun(d) for Life, program celik kewangan yang membantu lebih 4,200 individu,” katanya.
FWD Group adalah perniagaan insurans hayat Asia dengan kira-kira 10 juta pelanggan merentasi 10 pasaran, termasuk beberapa pasaran insurans yang paling pesat berkembang di dunia.
Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) pula adalah antara syarikat insurans hayat yang berkembang pesat di Malaysia. – UTUSAN










