PETALING JAYA: Elna PCB Malaysia Sdn. Bhd. (Elna PCB), penyedia papan litar bercetak (PCB) yang berpangkalan di Taiwan, melabur sebanyak RM1 bilion untuk pembesaran kilang baharunya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan berkata, pembinaan yang sudah bermula pada Disember 2022 dan dijangka memulakan pengeluaran menjelang 2024 bakal mewujudkan tambahan 1,000 peluang pekerjaan.
Kilang yang dibangunakan di kawasan seluas 10,289 meter persegi direka untuk mengeluarkan PCB untuk kegunaan automotif, pelayan, rangkaian, komputer riba, desktop dan produk peranti elektronik pengguna untuk menyokong ekosistem dengan kapasiti yang semakin meningkat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan Elna PCB yang sudah 30 tahun beroperasi di negeri itu untuk mengembangkan syarikatnya membuktikan Pulau Pinang sebagai lokasi yang mampan untuk pelaburan.
Beliau percaya ekosistem perindustrian yang teguh, kumpulan bakat yang kukuh, persekitaran perniagaan yang kondusif serta peluang pertumbuhan rantau ini adalah antara faktor utama Elna PCB mengukuhkan kedudukannya di situ.
“Saya yakin pengembangan Elna PCB akan meningkatkan lagi keupayaan bakat tempatan dalam penyelesaian teknologi PCB termaju dan mewujudkan peluang yang lebih besar untuk pembekal tempatan kami.
“Kerajaan negeri, melalui InvestPenang dan agensi negeri lain akan memastikan kelancaran pelaksanaan pengembangan Elna PCB di Pulau Pinang. Saya berharap dapat menjalin hubungan yang kukuh dengan Elna PCB pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, pelaburan semula Elna PCB akan meningkatkan pemindahan teknologi dan pengetahuan serta memupuk lebih banyak perkongsian rantaian bekalan tempatan.
Katanya, ia akan membawa kepada ekosistem industri yang lebih kukuh di Malaysia.
“Di MIDA, tumpuan kami adalah untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mempunyai kesan limpahan ketara ke atas Malaysia, selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) kami.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan membangunkan keupayaan rantaian bekalan tempatan untuk memenuhi keperluan berkembang sektor ekonomi teras kami sambil menggalakkan inovasi dalam sektor yang sedang pesat membangun,” ujarnya. – UTUSAN










