
MUKADIMAH
Pengumuman Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji semula Dasar Perumahan Negara (DPN) mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak termasuk syarikat hartanah tempatan.
Ada di antara mereka berharap agar KPKT hanya menambah baik DPN sedia ada dan tidak menukar dasar perumahan yang baharu, di samping mengutamakan pendapat pakar tempatan sebelum merujuk pakar luar.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID bersama Timbalan Ketua Pegawai Operasi 1, MK Land, AHMAD SOALAHUDDIN AL-THANI mengenai cadangan semakan semula DPN oleh KPKT.

UTUSAN: Apakah MK Land melihat DPN sedia ada wajar dikaji seperti yang diumumkan KPKT?
AHMAD SOALAHUDDIN AL-THANI: Kami percaya adanya keperluan semasa di mana DPN di Malaysia pada hari ini perlu dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan ia memenuhi keperluan perumahan semasa dan masa hadapan penduduk serta menangani sebarang isu atau cabaran yang timbul sejak pelaksanaannya pada Januari 2019. (Merujuk kepada DPN 2018-2025).
Semakan sedemikian sekaligus boleh mempertimbangkan faktor seperti perubahan dalam demografi, kenaikan kos bahan binaan, kenaikan kos buruh dan kenaikan kos pematuhan, keadaan ekonomi semasa serta kemampuan pemilikan perumahan.
Adakah DPN sedia ada perlu diganti dengan DPN yang baharu atau cukup sekadar penambahbaikan sahaja?
Kami melihat keputusan sama ada untuk menggantikan atau menambah baik DPN mungkin berdasarkan kepada penilaian keberkesanan dasar semasa dan sama ada ia masih mampu memenuhi keperluan dan menangani cabaran perumahan semasa yang sedang dihadapi negara.
Namun, kami merasakan mungkin memadai untuk menambah baik DPN sedia ada dan bukan menggantikannya sepenuhnya.
Pandangan pihak MK Land berkenaan kesediaan KPKT mengkaji inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu dan memudahcara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan?
Daripada perspektif MK Land, kesediaan kerajaan mengkaji semula inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu, dan memudahkan segala bentuk prosedur dalam kelulusan pembangunan perumahan dilihat sebagai petanda positif, bukan sahaja kepada pemaju seperti kami tetapi kepada rakyat Malaysia secara amnya.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan terbuka untuk bekerjasama dengan pemaju bagi menangani sebarang isu atau cabaran yang mungkin menjadi permasalahan dalam pembangunan projek perumahan baharu.
Pemaju seperti kami juga melihat kesediaan kerajaan untuk meneroka peluang insentif baharu sebagai petanda positif, kerana ia pastinya berupaya membantu dalam menjadikan projek kami lebih berdaya maju dari segi kewangan dan sekali gus meningkatkan keberhasilan projek perumahan kami.
Selain itu, pemaju seperti kami juga melihat kesediaan kerajaan untuk memudahkan dan mempercepatkan segala bentuk prosedur dalam kelulusan pembangunan perumahan sebagai petanda bahawa kerajaan komited untuk memperkemas proses kelulusan yang sedia ada dan menjadikannya lebih cekap, dan dapat membantu mengurangkan risiko kelewatan pembinaan dan kos bagi pemaju.
Pastinya pembeli akan mendapat manfaat dari inisiatif ini dengan kos rumah yang lebih rendah serta dapat disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.
KPKT juga turut bercadang mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada Singapura dengan mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik negara berkenaan. Adakah ia wajar dilakukan atau sebaliknya perlu berbincang dengan pakar perumahan tempatan terlebih dahulu?
Cadangan ini adalah wajar dipertimbangkan bagi kerajaan untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu dengan pakar perumahan dari Singapura bagi mempelajari aspek pengurusan rumah mampu milik di negara itu.
Singapura mempunyai pasaran perumahan yang maju dan telah melaksanakan pelbagai dasar yang berjaya untuk menangani isu rumah mampu milik. Kerajaan mungkin boleh belajar daripada pengalaman Singapura dan menyesuaikan beberapa strategi dengan konteks tempatan.
Bagaimanapun, kami percaya adalah penting untuk kerajaan turut sama berunding dengan pakar perumahan tempatan bagi memastikan sebarang dasar atau strategi yang diguna pakai bersesuaian dengan konteks tempatan, mengambil kira cabaran unik perumahan yang dihadapi di Malaysia dan ia pastinya berbeza bagi setiap negara.
Pendekatan yang baik ialah mengadakan sesi dengan pakar tempatan dan antarabangsa, untuk mendapat pemahaman dan analisis yang menyeluruh tentang situasi, serta mempunyai strategi yang merangkumi semua aspek penting dalam pembangunan perumahan tempatan. Dengan cara ini kerajaan berupaya memperoleh perspektif yang pelbagai berkaitan isu ini dan boleh memilih amalan terbaik yang sesuai untuk diguna pakai dalam konteks tempatan.
Harapan MK Land kepada KPKT dalam mengkaji semula DPN sedia ada?
Sebagai pemaju perumahan tempatan, MK Land berharap dapat turut sama menyumbang kepada kajian semula DPN yang sedia ada oleh KPKT di Malaysia. Kami yakin berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ini, kami mempunyai pandangan dan input berharga dalam pasaran perumahan tempatan yang boleh kami kongsikan dengan pihak Kerajaan dan sekaligus menyumbang kepada proses semakan DPN ini.
MK Land juga berharap input daripada pemain industri seperti kami turut diambil kira, terutamanya apabila ia melibatkan pelaksanaan dasar praktikal dalam industri perumahan. Sebagai contoh, kami mungkin mempunyai pandangan dan cadangan yang boleh menjadi nilai tambah kepada langkah-langkah untuk menambah baik dasar yang sedia ada, untuk menjadikannya lebih berkesan dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh sektor perumahan tempatan dan pada akhirnya mencapai matlamat untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia.
Selain itu, MK Land berharap proses semakan ini akan memberikan perspektif baharu kepada pemain industri seperti kami di MK Land dan menjadikan ianya lebih inklusif kepada semua pihak berkepentingan, termasuklah para pembeli yang terdiri daripada pelbagai latar sosioekonomi, dalam membolehkan negara mencapai matlamat menjadi masyarakat ideal sejajar dengan negara maju, melalui konsep masyarakat madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN









