Cari rezeki sambil beramal

Cari rezeki sambil beramal

ENGKU ROS SHAZWANI Engku Lah sentiasa memastikan pelbagai makanan dan kuih-muih yang dijual di Shazwani Dessert House menetapi citarasa pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCARI rezeki sambil beramal. Itu menjadi pendorong kepada pemilik Shazwani Dessert House, Engku Ros Shazwani Engku Lah untuk mengembangkan perniagaannya yang terletak di Indera Mahkota 7, Kuantan, Pahang.

Shazwani Dessert House me­nyasarkan membantu lebih 300 vendor khususnya dalam kala­ngan peniaga kecil B40 menghantar produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) mereka yang terdiri daripada aneka hidangan pencuci mulut seperti kek, brownies, tat telur dan kuih-muih untuk dijual di kedai ber­kenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Engku Ros Shazwani berkata, mencari rezeki sambil beramal menjadi pendorong kepadanya untuk mengetengahkan produk-produk IKS khususnya membabitkan ibu tunggal dan peniaga golongan B40 yang meniaga secara kecil-kecilan di rumah serta pasar malam di daerah itu.

Beliau berkata, sejak kedai itu dilancarkan dan dibuka pada 12 Disember tahun lalu, lebih 100 orang vendor sudah pun menghantar produk mereka terdiri daripada aneka hidangan pencuci mulut seperti kek, brownies, tat telur dan lebih 40 jenis kuih-muih untuk dijual di situ.

SEBAHAGIAN pelanggan yang berkunjung ke Shazwani Dessert House di Indera Mahkota 7, Kuantan, Pahang, bagi membeli makanan dan kuih-muih.

Menurutnya, kuih-muih itu termasuk kuih tradisional se­perti lompat tikam yang mendapat sambutan hangat apabila ia habis dijual setiap hari membabitkan 120 ke 150 bungkus.

“Ini merupakan konsep kita di Shazwani Dessert House yang mana kita bantu peniaga-peniaga kecil termasuk ibu tunggal menghantar produk mereka untuk dipasarkan.

“Sejak dibuka, sambutan pe­langgan cukup menggalakkan sehingga vendor-vendor terbabit yang sebelum ini meniaga secara kecil-kecilan terpaksa menghasilkan produk mereka dalam kuantiti yang banyak.

“Ada antara vendor tidak menyangka sambutan kepada produk mereka cukup menggalakkan sekali gus membantu menambah pendapatan mereka, alhamdulillah, kita mencari rezeki sambil beramal,” katanya ketika ditemui di Shazwani Dessert House, baru-baru ini.

Engku Ros Shazwani berkata, kedai itu mendapat permintaan luar jangka daripada peniaga atau vendor yang mahu menghantar produk mereka untuk dipasarkan di situ.

“Sekarang sudah ada lebih 100 orang vendor, jumlah ini pasti akan bertambah kerana setiap hari kita mendapat banyak permintaan dari peniaga khususnya di daerah ini.

“Kita pun tidak sangka sambutan cukup menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan pembeli malah peniaga,” katanya yang memaklumkan kedai itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.

ANEKA kuih-muih dan pencuci mulut dijual di Shazwani Dessert House.

Selain membantu peniaga kecil, Shazwani Dessert House juga tidak melupakan golongan kurang berkemampuan di sekitar daerah ini terutama dalam kalangan warga emas.

“Pada setiap hari Jumaat, kita menyediakan antara 20 ke 30 bungkus makanan percuma se­perti pulut kuning untuk diedarkan kepada golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jika hendak berniaga, sebaiknya ia memberi manfaat kepada orang lain dan konsep itu akan terus menjadi pegangan dan amalan di Shaz­wani Dessert House.

“Konsep berniaga sambil beramal ini akan terus dilaksanakan di sini. Kami percaya disebalik rezeki kami, ada rezeki orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN