KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) untuk membina dan mempromosikan ekosistem Pasaran Karbon Sukarela (VCM) di negara ini.
Kerjasama tersebut dilaksanakan susulan pelancaran Bursa Carbon Exchange (BCX) pada Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama dengan tersebut akan memastikan pihaknya mempunyai pasaran dengan kadar kecairan tinggi di BCX, yang seterusnya memudahkan perjalanan negara ke arah emisi sifar bersih.
Katanya, membangunkan pasaran baharu adalah mencabar dan inisiatif bersama MGTC ini akan membantu memacu kesedaran, membina pengetahuan, menghubungkan peserta dan memangkin minat dagangan.
“Perkara ini penting dalam membina pertukaran karbon yang berjaya yang akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam tawaran berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
“Malaysia mempunyai potensi teknikal yang besar dalam ekosistem VCM, dengan kawasan litupan hutan dan pokok sebanyak 55 peratus daripada luas keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani kerjasama di Bursa Malaysia di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, negara kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih pada 2050 dan pembangunan VCM merupakan permulaan yang baik untuk mencapai matlamat berkenaan.
“Kita sepatutnya tidak perlu menunggu sehingga 2050, sebaliknya cuba mencapainya lebih awal dan kerjasama awam swasta merupakan cara terbaik untuk menyokong matlamat ini,” ujarnya.
VCM membolehkan syarikat memperdagangkan kredit karbon sukarela daripada projek mesra iklim mereka, dengan tujuan untuk mengimbangi jejak pelepasan karbon dan mencapai mencapai matlamat iklim.
Kerjasama selama tiga tahun itu akan memfokuskan kepada mengenal pasti, membimbing, menghubungkan dan memupuk pemain utama dalam ekosistem pasaran karbon.
Kerjasama ini antara lain melibatkan pembangunan buku panduan VCM kebangsaan dan direktori penyedia perkhidmatan industri karbon, yang merupakan dua alat penting untuk meningkatkan skala bekalan kredit karbon negara yang kini masih di peringkat permulaan.
Selain itu, Bursa Malaysia akan turut menganjurkan Forum Pasaran Karbon Malaysia buat julung kalinya sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM) 2023 pada Oktober depan.
Dagangan BCX menerusi bidaan dijadualkan bermula pada Mac ini. – UTUSAN










