Bajet 2023: MAH Chapter Terengganu harap ada sinar baharu

Bajet 2023: MAH Chapter Terengganu harap ada sinar baharu

PELANCONG mengabadikan kenangan ketika berkunjung ke Pulau Redang, Terengganu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TERENGGANU terkenal dengan keindahan alam semula jadi seperti gugusan pulau peranginan yang indah serta jajaran pantai sepanjang 244 kilometer sebagai daya tarikan utama pelancongan ke negeri itu.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pengusaha dan operator hotel dalam industri pelancongan mengalami kerugian yang teruk.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, SUAIBAH HARUN mengharapkan kerajaan dapat menawarkan lebih banyak bantuan dan insentif kepada pengusaha hotel pada Bajet 2023, 24 Februari ini.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, KAMALIZA KAMARUDDIN di pejabatnya di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

 

SUAIBAH HARUN

UTUSAN: Kerajaan Pusat dijadual membentangkan semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini. Apakah harapan MAH Terengganu?

SUAIBAH HARUN: Selain berharap agar kerajaan meneruskan insentif-insentif sedia ada, kami turut mengharapkan agar kerajaan mengumumkan pelepasan atau rebat cukai tertentu se­perti pengecualian lesen Public Performance Malaysia (PPM) pada sambutan hari istimewa tertentu seperti Ramadan serta musim-musim perayaan.

Kemudiannya, melaksanakan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) terhadap tarif elektrik, memberi insentif khas atau geran kepada operator hotel untuk tujuan promosi pelanco­ngan dan melanjutkan pelepasan cukai peribadi untuk perjalanan domestik bagi tahun 2023.

Seterusnya, kami juga berharap kerajaan memberi diskaun dalam kadar taksiran dan berhenti sewa, memperkenalkan semula program subsidi gaji, memberi diskaun untuk utiliti air dan mengawal selia industri perkongsian rumah se­perti Airbnb serta inap desa supaya menyediakan medan permainan yang sama rata untuk semua pemain industri.

Apakah antara tumpuan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam merancakkan lagi pelancongan di negara ini khususnya di Terengganu?

Antara fokus yang perlu diberi tumpuan ialah menambah baik premis pelancongan khususnya hotel-hotel yang keba­nyakannya sudah berusia hampir 40 tahun. Ia perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada tetamu yang menginap agar bilik penginapan lebih ceria dan tempat tumpuan pelancong lebih bersih dan indah.

Produk ekopelancongan yang berperanan sebagai pemangkin kepada usaha pemeliharaan, pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar juga perlu diberi tumpuan kerana Terengganu kaya dengan sumber pelanco­ngan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian dan warisan.

Kerajaan perlu memanfaatkan semuanya secara lebih efektif dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu seperti Kampung Budaya Terengganu dan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) seperti di Dataran Batu Putih, Marang dan Kalang Warisan di Pulau Manis, Serada.

Aspek promosi juga perlu diberi tumpuan terutama di kawasan yang sudah terkenal seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Tasik Kenyir.

Selain itu, bagi merancakkan lagi penganjuran pelbagai acara di Terengganu untuk menarik semua golongan masyarakat dari seluruh dunia mengikut sasaran segmen acara pelanco­ngan tertentu. Pada 2023, kerajaan ne­geri telah menyenaraikan 100 acara bagi Calendar of Events melibatkan 17 acara ikonik bermula dengan Karnival Beautiful Terengganu di Kemaman.

 

Adakah kerajaan perlu me­ningkatkan lagi infrastruktur pelancongan di Terengganu dalam Bajet 2023 memandangkan kemudahan infrastruktur pelancongan negeri ini masih ketinggalan berbanding beberapa negeri lain?
Terengganu komited mahu memperkasakan infrastruktur menerusi bajet kerajaan negeri dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ia termasuk projek baharu dan juga projek dalam penyelenggaraan yang penting seperti jeti, tempat meletak kenderaan yang mencukupi dan kemudahan awam yang lain.

Selain itu, penting juga untuk mewujudkan titik tumpu atau hotspot untuk diabadikan video dan foto dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube kerana secara tidak langsung, ia turut menjadi medium promosi menarik lebih ramai kedatangan pelancong. Kebanyakan hotel mengalami kerugian akibat krisis pandemik Covid-19.

 

Apakah tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan untuk merancakkan kembali industri pelancongan di negara ini?

Langkah kerajaan membuka sempadan negara kepada pelancong luar telah berupaya me­rancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, terutama membabitkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya negara.

Justeru, sekarang adalah masa terbaik bagi pemain industri pelancongan meningkatkan promosi bagi menarik minat seluruh spektrum pelancong seperti kebudayaan, eko pelancongan dan pelancongan kesihatan ke Malaysia bagi memacu semula industri ini.

Pemain industri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 terus dipatuhi dengan tahap disiplin tinggi.

Tahap kesihatan pelancong serta sumber manusia yang terbabit dalam industri ini perlu dipantau setiap masa bagi memastikan tiada penularan Co­vid-19 dalam kalangan pelancong asing dan rakyat tempatan.

Selain itu, mutu produk pelancongan serta kualiti per­khidmatan yang baik hendaklah diberikan bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan pakej ditawarkan.

Paling penting, ini adalah masa sesuai untuk kerajaan dan semua pemain industri memperkasakan lagi promosi pelancongan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Tik Tok, Twitter dan sebagai­nya.

Penganjuran karnival pelancongan seperti Tourism Fair, MATTA FAIR peringkat domestik dan antarabangsa juga perlu diadakan dan disertai dengan lebih kerap seperti Pameran Pelancongan Antarabangsa (WTM), Penerbangan Gelembung Perjalananan Udara (ATB) dan Expo Perdagangan Pelancongan Internationale Tourismus-Börse (ITB) .

Pengiklanan melalui media cetak dan elektronik juga perlu diteruskan untuk menonjolkan keistimewaan produk-produk pelancongan di Terengganu.

 

Adakah hotel-hotel di Terengganu telah bersedia sepenuhnya menerima tempahan pelancong yang dijangka meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu?

Sejak peralihan negara ke fasa endemik, hotel-hotel di Terengganu telah bersedia sepenuhnya menerima tempahan pelancong.

Persediaan kami termasuk dari segi jaminan kesihatan dan keselamatan, kualiti serta mutu perkhidmatan yang dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada tetamu.

Walaupun tahun ini ekonomi dunia dijangka akan berdepan kemelesetan, Terengganu optimis mampu mencapai sasaran tiga juta dengan memfokuskan kepada pelancongan domestik dan dalam negara

 

Berapakah jumlah hotel dan bilik termasuk di pulau-pulau peranginan untuk kemudahan pelancong yang berkunjung di Terengganu pada tahun ini?

Berdasarkan data terbaharu, Terengganu mempunyai 373 buah hotel. Selain itu, terdapat 12,5672 bilik penginapan untuk pelancong yang datang ke Terengganu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 9,156 bilik penginapan ditawarkan oleh hotel yang beroperasi di darat manakala 3,411 bilik lagi adalah terletak di pulau-pulau peranginan seluruh negeri ini.

 

Sebelum pandemik Covid-19,  berapa jumlah keseluruhan kakitangan yang bekerja di hotel dan berapa jumlah kakitangan yang dipanggil bekerja semula?

Terdapat kira-kira 2,400 kakitangan hotel daripada 35 ahli MAH Terengganu direkodkan sebelum pandemik. Alhamdulillah, kerana tiada pemberhentian pekerja dilakukan sewaktu pandemik dan kesemua mereka masih kekal bekerja sehingga kini.

 

Berapakah jumlah keseluruhan perolehan pendapatan hotel-hotel di Terengganu pada 2022 dan jumlah sasaran 2023?

Berdasarkan maklumat yang dikumpul melalui empat hotel di bawah kerajaan Negeri Terengganu iaitu Primula Beach Hotel, Permai Hotel, Duyong Marina Resort dan Paya Bunga Hotel, jumlah keseluruhan perolehan pendapatan hotel bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM52.9 juta.

Jumlah sasaran pendapatan tahun 2023 pula adalah sebanyak RM56.9 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN