NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden tidak percaya ekonomi AS akan jatuh ke dalam kemelesetan sama ada tahun ini atau tahun depan.
“Tidak (tahun ini), atau tahun depan. Dari saat saya dipilih, berapa ramai pakar yang berkata dalam tempoh enam bulan akan datang akan terdapat kemelesetan?,” katanya dalam temubual bersama PBS NewsHour, lapor Reuters.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan berlaku kemelesetan ekonomi negara kuasa besar itu pada tahun ini.
Ahli-ahli ekonomi sejak beberapa bulan lalu telah memberi amaran tentang kemungkinan kemelesetan apabila Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi yang tinggi selama beberapa dekad.
Malah Syarikat Pengurusan Pelaburan Pasifik (PIMCO), tetap berpegang pada ramalannya sebelum ini bahawa ekonomi AS menuju ke arah kemelesetan, walaupun data terkini menunjukkan ekonomi negara itu berdaya tahan.
Laporan pekerjaan AS minggu lalu menunjukkan pertumbuhan pekerjaan meningkat secara mendadak pada Januari manakala kadar pengangguran mencecah paras 3.4 peratus, terendah dalam tempoh lebih 53 tahun. Ia menunjukkan pasaran buruh yang ketat boleh membebankan Rizab Persekutuan dalam usahanya menangani inflasi.
Pakar ekonomi PIMCO Amerika Utara, Tiffany Wilding berkata, data ekonomi yang kukuh menunjukkan kemelesetan mungkin berlaku lewat daripada jangkaan sebelum ini, tetapi berkemungkinan kekal.
“Data terkini di internet tidak menyebabkan kami mengubah pandangan kami untuk kemelesetan AS yang sederhana – kami hanya menganjak masa sedikit,” katanya dalam satu nota, lapor Reuters.
Bulan lalu, PIMCO, pengurus dana AS yang mengurus aset berjumlah AS$1.7 trilion (RM7.3 trilion) berkata, ia akan memberi tumpuan kepada bon berkualiti tinggi tahun ini berikutan pulangan yang lebih tinggi dan perlindungan yang mereka tawarkan sekiranya kemelesetan ekonomi global lebih mendalam daripada dijangkakan.
Sesetengah pelabur percaya, tanda-tanda kekuatan dalam pasaran buruh menjadikan kemelesetan lebih kecil dan meningkatkan peluang Fed menangani inflasi tanpa mendorong ekonomi ke dalam kemelesetan.
Goldman Sachs kini melihat kebarangkalian AS memasuki kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang sebanyak 25 peratus, turun daripada ramalan sebelumnya sebanyak 35 peratus.
Pasaran telah meningkat sejak beberapa bulan lalu berikutan inflasi yang menyederhana. Pada Januari, hasil Perbendaharaan AS – penanda aras untuk kos pinjaman ke atas aset terdiri daripada gadai janji kepada pinjaman korporat – menurun sebanyak kira-kira 30 mata asas.
Pergerakan itu bagaimanapun, terjejas minggu lalu apabila data pekerjaan meningkatkan prospek kenaikan kadar faedah yang lebih banyak oleh Fed.
Wilding berkata, walaupun ukuran keadaan kewangan berasaskan pasaran telah berkurangan baru-baru ini, namun keadaan kewangan mengikut piawaian sejarah, masih ketat.
“Kami fikir ia di bawah tekanan pengetatan kadar semalaman yang sebenarnya memberi kesan kepada ekonomi,” katanya. – AGENSI










