Agrobank sedia pembiayaan RM12 juta bantu 40 petani

Agrobank sedia pembiayaan RM12 juta bantu 40 petani

Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di Beufort, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sehingga RM12 juta kepada 40 petani kontrak daripada kumpulan B40 untuk dibimbing dan dibantu menjadi usahawan nanas berjaya dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Ia dilaksanakan menerusi Program Agro  Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2.

Program ini dianjurkan dengan usahasama strategik antara syarikat Aqina Borneo Sdn. Bhd. dan Koperasi Pembangunan Desa dengan Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga RM280,000 seorang untuk mengusahakan tanaman nanas di tanah seluas lima ekar untuk tempoh 54 bulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi program ini, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan mikro kepada kesemua peserta program yang berdaftar di bawah Aqina Borneo yang akan diberikan bimbingan menjadi usahawan nanas MD2 yang berjaya dalam tempoh singkat.

”Setiap peserta program ini akan diberikan kemahiran teknikal dan ilmu pengurusan pertanian moden mengenai penanaman nanas MD2 terlebih dahulu sebelum diberikan kawasan seluas lima ekar untuk diusahakan untuk penanaman nanas.

“Aqina Borneo akan menyediakan segala bekalan asas untuk penanaman nanas seperti sulur nanas MD2, perundingan nasihat perniagaan, penggunaan teknologi dan pasaran penjualan nanas kepada peserta.

”Di sepanjang program ini, setiap peserta program akan memperoleh pendapatan minimum tetap sebanyak RM5,000 sebulan dan boleh meraih pendapatan sehingga RM50,000 bagi setiap pusingan tanaman yang diusahakan sehingga tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Agrobank terus komited untuk mencipta dan menyampaikan nilai dalam aktiviti perniagaannya terutamanya untuk memperkasakan golongan B40 menerusi program-program mikro.

Program ini juga fokus untuk membangunkan komuniti yang memerlukan khususnya kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan akses mampu milik untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

“Tanaman nanas MD2 merupakan sumber perniagaan yang sangat menguntungkan. Sekiranya dikendalikan dengan betul dan secara konsisten, penanam nanas boleh memperoleh hasil bulanan yang lumayan dan berterusan.

“Pasaran nanas MD2 di dalam dan luar negara juga amat luas, kerana hasil pendapatan bukan hanya terhenti di peringkat penanaman buah, malah jus dan sulur nanas juga mempunyai tempat dan nilai tersendiri di pasaran global,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN