KUALA LUMPUR: Pendapatan 50,000 kontraktor kecil terjejas berikutan kewujudan syarikat-syarikat konsesi yang memonopoli projek-projek kecil seperti projek penyelenggaraan bangunan, jalan dan longkang.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, tindakan monopoli itu menyebabkan jumlah projek yang ditawarkan kepada kontraktor kecil semakin berkurangan.
“Dasar pensawataan itu ‘membunuh’ kontraktor kecil bumiputera kerana agihan projek itu tidak sampai kepada sasaran.
“Selain itu, margin keuntungan kepada sub-kontraktor yang diperolehi sangat kecil dan bayaran juga lambat diterima. Kontraktor kecil seperti kami tidak mampu bertahan dengan keadaan ini.
“Kami mencadangkan dasar penswastaan itu dimansuhkan dan projek-projek itu dikembalikan kepada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Agihan projek itu haruslah dibuat secara undian kepada Kontraktor G1 (Bumiputera) Kelas F.
“Jika projek-projek itu dikembalikan kepada jabatan kerajaan, ia akan membuka peluang kepada graduan bidang kejuruteraan awam yang tidak berpeluang untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, PERKOBF turut berpendapat kenaikan gred secara paksaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada kontraktor kecil G1 dalam masa tiga atau empat tahun akan datang (bergantung kepada usia syarikat berdaftar dengan CIDB), tidak relevan dilaksanakan.
Tukiman berkata, sekiranya perkara itu direalisasikan kerajaan, Malaysia akan mengalami lambakan kontraktor G2 dalam pasaran.
“Pada masa ini, kontraktor G2 berjumlah 14,000 orang dan kontraktor G1 yang dipaksa naik gred sebanyak 26,000 orang.
“Kita semua sedia maklum semakin besar gred, semakin banyak modal diperlukan dan semakin sedikit tawaran projek disediakan.
“Untuk naik gred, kami perlu menyediakan modal sebanyak RM25,000 dan untuk masuk sebut harga kami perlu mempunyai modal sebanyak 10 peratus daripada nilai projek.
“Bagaimana kami ingin hidup dalam fasa ini sedangkan kami tidak berkemampuan? Kami berharap pihak berkuasa tidak akan memaksa kontraktor kecil untuk menaiki gred,” katanya.
PERKOBF juga menggesa kerajaan untuk mengimbangi semula kenaikan had nilai kontrak supaya selaras dengan kenaikan harga bahan binaan yang kini melebihi 100 peratus.
“Isu-isu terbabit telah menjejaskan kira-kira 50,000 pendapatan kontraktor kecil sebanyak 90 peratus. Justeru, kami berharap kerajaan baharu ini dapat membantu golongan kontraktor kecil supaya kami dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. – UTUSAN










