PETALING JAYA: Video yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warganegara asing menceroboh dan memanjat Menara Merdeka 118 yang tular di sosial media merupakan insiden yang berlaku tahun lalu.
PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad dalam satu kenyataan berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 1 Mei tahun lalu dan kesemua lelaki berkenaan telah ditahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Berkenaan video yang memaparkan sekumpulan penceroboh lelaki di Merdeka 118 yang tersebar di media sosial, kami ingin memaklumkan bahawa insiden ini berlaku pada 1 Mei 2022.
“Penceroboh-penceroboh tersebut telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama,” katanya.
PNB Merdeka Ventures turut menegaskan bahawa aksi menceroboh dan memanjat menara Merdeka 118 adalah menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan juga pekerja-pekerja di tapak pembangunan.
“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram,” katanya.
Tambahnya lagi, tapak Merdeka 118 masih lagi aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan aspek keselamatan menjadi keutamaan.
“Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya.
“Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu tular sebuah klip video empat individu dipercayai warga asing memanjat menara kedua tertinggi itu selepas negara digemparkan dengan tindakan pasangan dari Rusia yang memuat naik gambar dan video mereka di puncak menara sama. – UTUSAN










