UM, PUSB kerjasama pasang sistem pemantauan cerun

UM, PUSB kerjasama pasang sistem pemantauan cerun

SHALIZA Ibrahim (dua kiri), Marhalim Mohamed (tiga kiri) dan Mohd. Zaid Abdul Jalil (tiga kanan) menunjukkan dokemen memorandum perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur. -
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Pintas Utama Sdn. Bhd. (PUSB) bakal memasang Sistem Pemantauan Cerun menggunakan Penderia Berasaskan FBG bagi mengesan pergerakan tanah di Blue Valley, Cameron Highlands.

Pengarah Pusat Penyelidikan Fotonik UM (PRCUM), Prof. Ulung Datuk Dr. Harith Ahmad berkata, sistem di bawah projek perintis itu dibangunkan oleh dua pelajar doktor falsafah (PhD) UM itu, bakal mengurangkan risiko kehilangan nyawa di kawasan berisiko berlakunya tanah runtuh.

Menurut beliau, Sistem Pemantauan Cerun menggunakan Penderia Berasaskan FBG memberi amaran awal berkenaan pergerakan tanah yang berlaku menggunakan sensor gentian optik bagi mengelakkan sebarang insiden yang meragut nyawa.

Jelasnya, sensor gentian optik yang ditanam sedalam enam hingga lapan meter itu akan membaca pergerakan tanah dan menghantar isyarat melalui telefon bimbit.

“Bagi projek ini kami telah bekerjasama dengan PUSB memandangkan mereka berpengalaman dalam industri pembinaan dan bekerjasama dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) di bawah selian Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi, mereka memberi kami kawasan di Blue Valley Cameron Highlands di mana kami menjangkakan projek ini akan dimulakan awal Februari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UM dan PUSB di Hotel St Regis, hari ini.

MoA tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir. Marhalim Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Prof. Ir. Dr. Shaliza Ibrahim dan Pegawai Eksekutif UM Holdings, Mohd. Zaid Abdul Jalil.

Marhalim berkata, kolaborasi penyelidikan teknikal dengan UM itu bakal mendalami teknologi mengesan pergerakan tanah dan pemantaun cerun berdasarkan sistem yang dibangunkan UM sendiri.

Katanya, PUSB telah membelanjakan lebih RM100 juta bagi kos pembaikan tapak runtuhan di Blue Valley, Cameron Highlands dan rentetan itu, kawasan berkenaan telah dipilih sebagai lapangan kajian bagi mengesan sebarang pergerakan tanah susulan.

“Ciri-ciri yang ada pada teknologi tersebut berpotensi memantau sebarang pergerakan tanah susulan semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di tapak pembinaan.

“Menerusi penyaluran dana oleh PUSB bernilai lebih RM100,000 kepada UM kita bakal melihat fasa pertama kerjasama penyelidikan teknikal ini dalam tempoh dua tahun untuk menguji keberkesanan sensor yang dibangunkan oleh PRCUM ini,” katanya.

Sementara itu, Shaliza berkata, MoU tersebut bertujuan memperkukuh hubungan antara organisasi dan institut pengajian tinggi bagi menyumbang idea-idea baharu berasaskan daya fikir ahli akademik dan pemain industri.

“Kolaborasi sinergi ini juga mengintai peluang untuk mendalami teknologi mengesan pergerakan tanah dan pemantauan cerun serta berpotensi memantau sebarang pergerakan tanah susulan kerja-kerja pembinaan dijalankan.

“Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku di tapak pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN