JAKARTA: Tesla Inc hampir memuktamad perjanjian awal untuk menubuhkan sebuah kilang di Indonesia, kerana pembuat kenderaan elektrik milik bilionair Elon Musk itu ingin memanfaatkan rizab utama logam bateri negara berkenaan, menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut.
Kilang itu akan mengeluarkan sebanyak sejuta kereta setahun, sejajar dengan cita-cita Tesla untuk semua kilangnya di seluruh dunia, kata sumber berkenaan.
“Perbincangan itu termasuk rancangan untuk pelbagai kemudahan di negara ini (Indonesia) yang menjalankan fungsi berbeza, termasuk rantaian pengeluaran dan bekalan,” katanya, lapor Bloomberg.
Perjanjian belum ditandatangani dan perjanjian itu masih boleh gagal, tambahnya dan meminta tidak didedahkan identiti kerana rundingan itu adalah sulit.
Saham Tesla meningkat 2.3 peratus setakat 9.55 pagi waktu New York, kelmarin. Saham syarikat berkenaan menjunam sebanyak 65 peratus tahun lepas.
Musk dan wakil Tesla tidak segera membalas e-mel untuk sebarang ulasan lanjut.
Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia pada Rabu, dilaporkan berkata, perbincangan dengan Tesla sedang diketuai oleh Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan apabila ditanya mengenai potensi perjanjian berkenaan.
Bagaimanapun, pihak kementerian tidak memberi sebarang komen lanjut.
Indonesia dilaporkan telah lama ‘meminang’ Tesla. Presiden Joko Widodo bertemu Musk pada Mei tahun lalu dan memeterai perjanjian bekalan nikel bernilai AS$5 bilion (RM21.85 bilion) dengan pembuat kereta itu pada Ogos.
Dalam temu bual dengan Bloomberg News ketika itu, Widodo berkata, beliau mahu Tesla membuat kereta elektrik di Indonesia, bukan hanya bateri. Malah, beliau bersedia meluangkan masa untuk meyakinkan Musk bagi melihat Indonesia sebagai lebih daripada sekadar pembekal sumber utama (bahan mentah untuk bateri).
Kilang di Indonesia kelak bakal menjadi kilang Tesla ketiga di luar pasaran Amerika Syarikat, menyertai kemudahan di Shanghai dan Berlin.
Semasa mesyuarat tahunan pemegang saham Tesla pada Ogos, Musk berkata, beliau menjangkakan syarikat itu akhirnya akan membina 10 hingga 12 kilang di seluruh dunia. – AGENSI










