Tesdec Hydropower bina loji kuasa hidro mini di Sungai Pelagat

Tesdec Hydropower bina loji kuasa hidro mini di Sungai Pelagat

AHMAD Samsuri Mokthar (tengah) bersama Azlan Shah Zainal Arif (dua, kanan) dan Rosdan Ismail (dua, kiri) selepas bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani Surat Penganugerahan antara Tesdec Hydropower dan Minetech bagi Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0MW di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Syarikat Tesdec Hydropower Sdn. Bhd. (Tesdec Hydropower) akan membina sebuah loji kuasa hidro mini bernilai RM36.71 juta di Sungai Pelagat, Besut dekat sini bermula Januari ini.

Pengerusi Tenaga Tesdec Hydropower, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, kerja-kerja pembinaan loji kuasa hidro mini 3.0 megawatt (MW) itu akan dibina oleh syarikat Minetech Resources Berhad (Minetech).

Menurutnya, projek pembinaan loji kuasa hidro di bawah program suapan tarif (FiT) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) itu di­jangka siap pada Mei 2027.

“Penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada kadar FiT itu akan dijual kepada pemegang lesen pengedaran se­perti Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Surat Anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0MW di Sungai Pelagat, Besut di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Operasi dan Kewangan Minetech, Azlan Shah Zainal Arif dan Pengarah Tesdec Hydropower, Ir. Rosdan Ismail.

Saiful Azmi memberitahu, pembinaan loji kuasa hidro mini tidak melibatkan pembinaan takungan air sebaliknya menggunakan aliran sungai dari puncak bukit untuk menjana tenaga elektrik.

“Jadi loji kuasa hidro ini tidak memerlukan kawasan yang luas dan tidak ada melibatkan mana-mana kawasan yang tenggelam.

“Kawasan pembinaan intake (punca air) melibatkan kawasan seluas  0.4 hektar  dan menggunakan saluran paip sejauh empat kilometer manakala tempat air keluar pula seluas 0.4 hektar,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek loji kuasa hidro mini itu yang akan memberi limpahan positif termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Projek ini juga mengurangkan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar dan menjaga kesejahteraan masyarakat melalui kemajuan sosial-ekonomi,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN