PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengarahkan semua syarikat penerbangan mempertingkatkan pengurusan gangguan penerbangan serta-merta dan mengingatkan kewajipan mereka kepada pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Menurut MAVCOM, keperluan baharu itu sebagai persediaan untuk jangkaan peningkatan kapasiti penerbangan serta trafik penumpang semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina yang merupakan antara tempoh perjalanan puncak di Malaysia.
Selain itu, arahan tersebut menggesa syarikat penerbangan untuk segera menyelesaikan sebarang isu yang dialami oleh penumpang berikutan isu-isu gangguan penerbangan yang telah berlaku baru-baru ini.
“Walaupun syarikat penerbangan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengendalikan gangguan penerbangan, pengurusan gangguan tersebut perlu diperkukuhkan lagi dan memerlukan perhatian segera.
“Oleh itu, keperluan baharu tersebut bertujuan menangani kebimbangan orang ramai mengenai pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan terutamanya semasa musim cuti perayaan, berikutan jangkaan peningkatan perjalanan udara,” katanya dalam kenyataan.
Antara obligasi lain, MAVCOM berkata, pihaknya telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengerahkan Pasukan Pengendali Penundaan bagi penerbangan yang ditunda selama dua jam atau lebih.
Ujarnya, kakitangan syarikat penerbangan terlibat mestilah diberi kuasa untuk bertindak dan harus membantu pengguna di semua lapangan terbang di Malaysia sekiranya berlaku penundaan atau sebarang gangguan penerbangan.
“Obligasi ini bertujuan menambahbaik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan serta keperluan seperti yang digariskan di dalam MACPC.
“Syarikat penerbangan perlu melaksanakan kewajipan mereka apabila berlaku gangguan penerbangan terutamanya semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang akan datang serta tempoh perjalanan puncak yang lain,” ujarnya.
Sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti penerbangan antara 18 hingga 31 Januari 2023, MAVCOM telah meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan setakat 6 Januari lalu.
Ia merangkumi AirAsia (134), Malaysia Airlines (53), Batik Air (44), SKS Airways (44) dan Firefly (16) ke semua destinasi di Malaysia dalam tempoh tersebut.
Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan perjalanan dan menangani isu tambang penerbangan yang tinggi semasa tempoh Tahun Baharu Cina.
Laluan yang mempunyai penerbangan tambahan tertinggi bagi musim tersebut ialah laluan antara Sabah dan Sarawak dengan 205 penerbangan. – UTUSAN










