PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 perlu dibentang serta diluluskan dengan segera di Parlimen bagi mengawal selia rokok elektronik atau vape yang semakin berleluasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, ketiadaan RUU kawalan tembakau dan merokok ini menyebabkan terdapatnya jurang besar dalam undang-undang sedia ada mengenai penjualan produk yang mengandungi nikotin khususnya vape.
Jelasnya, harga vape pakai buang yang dijual murah dan mengandungi kepekatan tinggi cecair nikotin tidak dapat dihalang, dilarang dan diharamkan kepada sesiapa sahaja yang membelinya termasuk kanak-kanak.
“Kenyataan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa hari ini mengenai isu penjualan produk rokok elektronik atau vape kepada kanak-kanak dan golongan muda menunjukkan pihak berkuasa kesihatan tidak berdaya apabila RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok masih belum diluluskan Parlimen.
“Walaupun ia merupakan industri dengan anggaran nilai RM2.3 bilion selain negara merupakan pasaran terbesar Asia Tenggara, pemasaran dan pejualan vape dan produknya masih tidak dikawal di negara ini.
“(Dianggarkan) 4.9 peratus daripada populasi hari ini menggunakan vape dan jumlah tersebut meningkat dari hari ke hari,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kekurangan peraturan dan perundangan menyebabkan pembuatan, penjualan dan pemasaran vape kepada generasi muda tidak dapat dihalang sedangkan ia mengandungi nikotin yang tinggi.
“Di United Kingdom (UK), Eropah dan Indonesia, di mana vape di kawal, jumlah maksimum nikotin dibenarkan hanya dua peratus, namun di Malaysia cecair vape sekali pakai mengandungi nikotin sehingga lima peratus dan mudah didapati pada harga RM10 hingga RM20.
“Kerana itulah kita memerlukan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok dengan segera bagi mengawal selia industri vape dengan cara sama seperti seperti industri tembakau terutamanya dalam pengiklanan, pemasaran, promosi dan tajaan,” katanya.
Menurut Azrul, bagi memastikan RUU tersebut diluluskan dengan segera oleh kerajaan sekarang, pihaknya mencadangkan agar peruntukan yang berkaitan dengan Generasi penamat dalam versi semasa RUU digugurkan.
“Peruntukan-peruntukan itu, yang didapati menjadi perbalahan dan tidak disenangi oleh ahli-ahli Parlimen sebelum ini, namun kita memerlukan baki peruntukan yang terkandung dalam RUU itu, termasuk mengawal selia vape.
“Tiada satu pun daripada isu atau masalah ini boleh ditangani dan diatasi dengan sewajarnya tanpa perundangan yang sewajarnya dan kita memerlukan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok untuk dibentangkan dan diluluskan di Parlimen,” katanya. – UTUSAN










