PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah melantik Kamarudin Hashim dan Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Urusan baharunya, berkuat kuasa 1 Januari 2023.
SC dalam satu kenyataan juga mengumumkan Timbalan Ketua Eksekutif, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin akan meletakkan jawatan pada 11 Januari 2023 bagi meneruskan kepentingan lain.
Beliau telah memaklumkan perkara tersebut pada Lembaga SC pada Oktober 2022 lalu.

Sebagai Pengarah Urusan, Kamarudin dan Azalina akan membantu Pengerusi SC dalam menetapkan hala tuju strategik secara menyeluruh bagi pasaran modal Malaysia dan mentadbir dua mandat SC iaitu pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal.
“Kedua-dua mereka akan kekal menyelia portfolio masing-masing dalam Penyeliaan Pasaran dan Korporat serta Strategi dan Dasar,” jelas SC dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin mengucapkan terima kasih kepada Zainal Izlan atas perkhidmatan cemerlangnya dan mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada pembangunan pasaran modal.
“Zainal Izlan telah membantu menerajui pertumbuhan Pasaran Modal Islam, dan agenda Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) SC, baik di Malaysia mahupun di luar negara.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan kakitangan SC, saya mendoakan yang terbaik dalam segala urusan hadapan beliau,” katanya. – UTUSAN










