KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan dua Rang Undang-undang berkaitan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diluluskan setelah dibahas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan.
Hajiji ketika membentangkan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah berkata, kelulusan RUU itu akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya tersebut untuk menjalankan tanggungjawab kuasa kawal selia sektor pembekalan gas di negeri Sabah.
Menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah, ia akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah untuk mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga khususnya bekalan gas.
Justeru, segala aktviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisien di peringkat negeri Sabah.
RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah mengandungi enam bahagian dan 43 Fasal dan RUU berkenaan akan dikuatkuasakan semalam.
Dalam RUU itu antara lain menyebut tentang prosedur kewangan Suruhanjaya yang memerlukan satu Kumpulan Wang Tenaga Sabah bagi membolehkan pembekalan tenaga ditadbir dan dikawal oleh Suruhanjaya.
Sementara itu, RUU Bekalan Gas 2023 pula mengandungi tujuh bahagian dan 81 Fasal akan membolehkan kerajaan negeri Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas merangkumi bekalan gas daratan (on shore) iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan/penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas.
Dalam RUU itu antara lain menyebut tentang bidang kuasa perlesenan dan kuasa menetapkan tarif dan caj serta piawaian bekalan gas.
Bahagian lima yang mengandungi sembilan Fasal menyatakan kesalahan yang menyebabkan kecederaan kepada nyawa atau tubuh manusia atau kerosakan kepada apa-apa harta, boleh disabitkan atau didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah merupakan salah satu isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui hasil perbincangan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Penyerahan kuasa kawal selia itu diluluskan Jemaah Menteri Persekutuan pada 21 Disember lalu melalui Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas).
Perintah itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember lalu dan berkuat kuasa semalam. – UTUSAN










