QJ MOTOR SRV250S – Klon kruiser Amerika terbaik

QJ MOTOR SRV250S – Klon kruiser Amerika terbaik

KRUISER hebat dari segi fizikal, prestasi enjin dan harga pasaran. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini, kita ke­rap mendengar seruan dan nasihat kerajaan supaya berbelanja dengan bijak dan berhemah.

Fakta ini juga terpakai terhadap pembuat-pembuat motosikal dari Barat yang telah mula mencatur strategi sejak 5 tahun lepas untuk meningkatkan (ataupun mengekalkan) produksi me­reka dengan usahasama sya­rikat-syarikat pembuat automotif di China. Ini disebabkan China mampu menghasilkan produksi pada skala besar, dengan teknologi terkini dan kos penghasilan yang jauh lebih ren­dah.

Hasil usahasama itu, maka ter­hasillah limpahan pengelua­ran motosikal-motosikal klon dari China yang menyerupai, ma­lah ada yang terus mengumumkan pembuatan mereka ada­lah daripada usahasama de­ngan jenama-jenama hebat Ero­pah dan Amerika Syarikat (AS).

Satu daripada jenama tersebut adalah QJ Motor. Siapakah QJ Motor ini? QJ Motor atau Qian Jiang Motorcycles ini terletak dalam wilayah Zhejiang, China dan pada 2005 telah berjaya menguasai hak milik sebuah jenama motosikal dari Itali iaitu Benelli, yang telah pun mempunyai sejarah selama 100 tahun kewujudannya. Mula mewujudkan motosikal-moto­sikal daripada kapasiti 110cc sehinggalah ke 1130cc dan telah memasarkan motosikal mereka ke lebih 130 negara.

Seperkara menarik yang anda perlu tahu ialah Zhejiang QJ Motor Co. Ltd ini adalah anak syarikat kepada Geely Group, yang juga (sama ada anda tahu atau tidak) adalah pemegang saham terbesar Proton. Maka, daripada fakta ini, QJ Motor boleh dikira sebagai ‘sepupu’ kepada Proton.

REKAAN lampu retro tetapi lengkap dengan LED.

PENAMPILAN
SRV250S ini secara terang-terangan mengklon rekaan se­buah kruiser Amerika yang popular dan dikecilkan kapasiti enjinnya bagi membolehkan ia relevan kepada pasaran Asia. Untuk pasaran negara kita, ia dilihat sebagai satu langkah yang sangat bijak oleh pengimportnya iaitu MFORCE BIKE HOLDINGS SDN. BHD., yang po­pular dengan pengedaran dan pemasangan motosikal-motosikal dari China.

Penggunaan penyerap hentakan terbalik yang menampilkan ciri-ciri motosikal sports pada rekaan kruiser, yang juga diadaptasi oleh kruiser AS, ter­nyata memikat dari sudut fotografi. Penggunaan teknologi terkini pada sebuah rekaan ‘klasik’ adalah sangat mengujakan.

Lampu hadapan bulat yang berkonsepkan retro-moden juga sebagai satu tarikan apabila lampu tersebut menggunakan LED dan lengkap dengan sistem DRL (day running lights). Meter bulat yang terletak atas tangki mi­nyak juga menampilkan konsep sama iaitu dengan hanya satu meter bulat tetapi menggunakan teknologi LCD atau pun digital sepenuhnya. Selain menjimatkan ruang, meter LCD ini mempamerkan informasi yang cukup lengkap seperti penunjuk waktu, speedometer, RPM, kedudukan gear, jarak perjalanan dan penunjuk baki bahan api.

Pelana tempat duduknya juga memberikan penampilan sebuah sportster dan padanan dengan skim warna hitam “mati” atau hijau “askar” turut memberikan imej macho dan retro mo­den. Penggunaan tayar yang agak besar bagi depan (120/80-16) dan belakang (150/80-15) juga memainkan faktor penarik untuk para peminat kruiser.

QJ Motor SRV250S ini ternyata mampu dijual dengan hanya tarikan rupa bentuk fizikalnya, dan harga jualannya yang tidak sampai RM17,000 sebelum caj cukai jalan, insurans dan pendaftaran, sudah tentu bakal membuat peminat-peminat jentera ini tidak mampu tidur malam.

DIDATANGKAN dengan sistem sejukan cecair.

PENUNGGANGAN
Selalunya, segala tarikan terhadap rupa fizikal motosikal akan mula terhakis apabila jentera tersebut dihidupkan dan ditunggang. Walau bagaimanapun, SRV250S ini mempunyai enjin V berkembar, dan sekali gus memberikan bunyi daripada corong ekzos (yang juga berkembar dan dipasang pelindung ekzos yang berwarna tembaga keemasan) yang agak dalam dan menggetarkan jantung. Ia jarang-jarang dapat berlaku dalam jentera-jentera klon dari China yang lain. Kebanyakan pembuat motosikal China menggunakan sama ada enjin silinder tunggal, atau pun berkembar selari, sama ada untuk kemudahan penyelenggaraan enjin atau menjimatkan kos daripada segi pembuatan.

Menunggang motosikal ber­konsep kruiser ini adalah lebih kepada penunggangan santai dan melayan perasaan. Maka kelajuan tidak menjadi kriteria utama dalam penungga­ngan motosikal ini. Begitu pun, mencecah kelajuan sehingga 120-130 km/j bukanlah sesuatu yang payah untuk dicapai, ha­nya ia menjadi tidak begitu relevan kerana anda perlu melawan angin ketika tunggangan kerana tiada skrin pelindung angin.
Penyerap hentakan depan dan belakangnya mampu memberikan satu kestabilan dalam pengambilan selekoh dan perjalanan yang sempurna kerana permukaan jalan yang tidak rata berjaya diserap dengan baik.

Dalam keseronokan me­nunggang SRV250S ini, tidak dapat tidak, bunyi rantai yang bergerak pada pemacu hadapan yang terletak di bawah peha kiri memberikan sedikit gangguan. SRV ini menggunakan rantai sebagai salah satu daripada sistem pemacunya dan tidak menggunakan belting atau tali sawat seperti mana-mana kruiser berkapasiti besar dari AS. Ini agak pelik kerana saya terlihat dalam internet yang mana SRV300 menggunakan tali sawat dan bukannya rantai. Mungkin untuk memudahkan pengguna dari segi pengurangan kos dan pencari­an stok daripada mana-mana bengkel di seluruh negara untuk penggantiannya.

METER digital sepenuhnya.

KESIMPULAN
Tidak dapat disangkal lagi, inilah klon kruiser yang terbaik dari segi fizikal (rupa bentuk kosmetik), bunyi ekzos dan perasaan penunggangan. Saya juga ada terlihat dalam YouTube bahawa beberapa pemilik telah berjaya custom bahagian ekor model ini untuk lebih menyerupai SPORTSTER S model 2021, lengkap dengan pelindung lecak di roda belakang.

Di samping hanya 250cc dan tidak memerlukan kita ada lesen B penuh, menyebabkan model ini kini sangat laris di pasaran. Saya dapat merasakan ruang pamer kruiser AS yang popular itu, kini mungkin sudah berkurangan pengunjungnya akibat kewujudan SRV250s ini di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN