Proton rekod jualan terbaik sejak 2013

Proton rekod jualan terbaik sejak 2013

X70 antara model terlaris Proton dan muncul SUV segmen C tertinggi jualan pada Disember 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar automotif nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) mencatat pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut dengan lonjakan jumlah jualan keseluruhan tertinggi sejak 2013.

Proton dalam kenyataan me­ngumumkan peningkatan jualan sebanyak 23.3 peratus kepada 141,432 unit kenderaan di pasaran domestik dan eksport pada tahun lalu berbanding 2021.

Pada Disember lalu sahaja, Proton berjaya menjual sebanyak 14,750 unit kenderaan, menjadikannya jualan bulanan keempat terbaik untuk 2022.

“Jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1 peratus, membolehkan Proton mengakhiri 2022 sebagai pengeksport utama industri.

“Secara keseluruhan, syarikat telah mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam industri de­ngan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus.

“Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) untuk 2022 pula dianggarkan melebihi 720,000 unit, satu catatan industri baharu yang tinggi, di samping jualan Disember yang memecahkan rekod,” katanya.

Proton turut mengumumkan jualan untuk lima daripada enam model keretanya meningkat tahun lalu dengan tiga model mengakhiri 2022 sebagai peneraju segmen masing-masing iaitu X50, X70 dan Exora.

Katanya, Proton X50 terus menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia dengan jualan sebanyak 3,764 unit pada Disember.

“Ia mengakhiri 2022 dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit, peningkatan 41.4 peratus berbanding 2021, menjadikan SUV segmen B ini model kedua paling laris.

“Mengukuhkan lagi kedudukan Proton sebagai jenama SUV paling popular ialah Proton X70 yang dijual sebanyak 1,787 unit pada Disember dan keseluruhan 18,533 unit, meningkat sebanyak 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Model peneraju ketiga ialah Exora yang mengukuhkan ke­du­dukan di pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C dengan jualan sebanyak 4,275 unit pada 2022, meningkat 5.9 peratus berbanding 2021,” jelas Proton.

Proton Saga pula terus menjadi model eksport paling popular de­ngan 2,404 unit terjual tahun lalu, peningkatan sebanyak 31 peratus daripada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Proton yang merekodkan pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut, berbangga menjadi satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang mencapai kejayaan itu dari 2019 hingga 2022.

Kata beliau, pertumbuhan dalam pasaran eksport Proton tetap penting buat syarikat yang kini di pertengahan rancangan perniagaan 10 tahunnya.

“Dengan model baharu ditambah dan pertumbuhan tawaran semasa kami pada 2023, kami yakin dapat mencapai angka yang lebih besar tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN