PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad mengunjurkan peningkatan purata penumpang harian merentas semua perkhidmatan rel dan basnya daripada 722,000 tahun lepas kepada 1.2 juta pada 2023, dengan pembukaan penuh Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Mac depan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, dianggarkan 100,000 orang akan mendapat manfaat setiap hari pada tahun pertama pembukaan penuh, dan permintaan dijangka meningkat tahun ke tahun.
“Pembukaan keseluruhan Laluan Putrajaya akan menjadi satu peristiwa penting untuk Prasarana tahun ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Fasa 1 Laluan MRT Putrajaya, yang berjalan sejauh 17.5km dan terdiri daripada 12 stesen, telah dilancarkan pada 16 Jun 2022.
Keseluruhan Laluan Putrajaya adalah 57.7km, dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya, meliputi kawasan utama, berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya, dan Putrajaya.
Mohd. Azharuddin berkata, tarikh sebenar pembukaan Fasa 2 akan diumumkan oleh Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp), kontraktor dan pemaju rel.
“Rapid Rail Sdn. Bhd., anak syarikat Prasarana, sebagai pengendali, dan MRT Corp, sebagai pemilik aset, kini sedang menjalankan ujian menyeluruh terhadap perkhidmatan itu.
“Ia antara prasyarat ditetapkan pihak berkuasa untuk menguji dan mengukur keberkesanan sistem itu sebelum kelulusan untuk dibuka sepenuhnya boleh diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.
“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa Prasarana sebagai pengendali rel akan memikul tugas kami selepas MRT Corp menyerahkan aset kepada kami,” katanya.
Beliau juga berkata, pembukaan penuh MRT Laluan Putrajaya akan memberi peluang yang lebih baik kepada perniagaan kecil dan pemilik industri, seperti yang dilihat melalui sambungan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) ke Putra Heights.
Mengulas lanjut mengenai fokus untuk 2023, beliau berkata, Prasarana menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, terutamanya untuk sistem rel dan pengguna pengangkutan awam boleh menjangkakan perjalanan waktu puncak yang lebih baik, kerana kekerapan kereta api ditingkatkan ke tahap yang lebih boleh diterima.
“Bagi LRT Laluan Kelana Jaya, kebanyakan tren di laluan ini sedang menjalani program pemeriksaan dan baik pulih khas,” katanya sambil menambah hanya tren yang dalam keadaan baik dan selamat akan dikeluarkan untuk perkhidmatan.
Dengan penambahan tren baharu, beliau menjangkakan kekerapan dinaikkan kepada tiga minit menjelang September 2023, manakala bagi MRT Laluan Kajang, kekerapan jam puncak akan dinaikkan kepada empat minit menjelang Ogos 2023.
“Ini adalah hasil penggantian roda progresif dari Jun 2022 hingga Disember 2024 disebabkan kemerosotan roda lebih awal daripada jangkaan. Kekerapan Monorel KL juga akan dinaikkan kepada lima minit pada suku keempat 2023.
“Sejak 23 Mei 2022, kami telah menggunakan tren empat gerabak dalam perkhidmatan. Penerusan usaha ini pada tahun ini akan menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi dan kebolehpercayaan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










