PKNS, Bank Muamalat jalin usahasama tawar pembiayaan

PKNS, Bank Muamalat jalin usahasama tawar pembiayaan perumahan

MAHMUD Abbas (kanan) dan Khairul Kamarudin bertukar dokumen perjanjian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menerusi penawaran pembiayaan perumahan kepada individu dan entiti perniagaan.

Menurut kenyataan bersama PKNS dan Bank Mualamat, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani adalah usaha membuka peluang dan membantu lebih ramai individu dalam pemilikan hartanah khususnya kediaman dan komersial.

Menerusi kerjasama tersebut, Bank Muamalat akan menyediakan pembiayaan akhir kepada pelanggan PKNS yang berpotensi bagi produk-produk hartanah yang dibangunkan oleh PKNS di seluruh negara, melibatkan projek perumahan pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik.

“Bagi golongan individu, Bank Muamalat menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad.

“Sementara itu, bagi segmen perniagaan pula, bank akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti untuk industri kecil dan sederhana (SME) yang melibatkan vendor dan rakan niaga,” katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas manakala Bank Muamalat diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin dalam majlis di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam di sini, hari ini.

Mahmud berkata, pembiayaan tersebut dapat membantu pelanggannya sama ada individu atau entiti perniagaan untuk memiliki hartanah menerusi penawaran pakej yang bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan pelanggan.

“Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama.

“Berbekalkan pengalaman lebih lima dekad, kami komited untuk menyediakan pelbagai produk hartanah yang dapat memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai dan kerjasama ini akan membantu memberikan lebih pilihan sekaligus membantu merealisasi objektif ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Khairul Kamarudin berkata, kerjasama tersebut merangkumi pelbagai aspek perniagaan untuk jangka masa panjang memandangkan PKNS merupakan syarikat pemaju hartanah yang bereputasi tinggi di Malaysia khususnya di negeri Selangor.

“Bank Muamalat kini dalam usaha membina #KehidupanLebihBaikBersama pelanggan menjelang 2023.

“Maka, pihak bank amat memahami masalah yang dihadapi oleh para pelanggan, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar terutamanya bagi pembeli rumah pertama,” ujarnya.

Kerjasama strategik ini juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama menganjurkan pelbagai aktiviti seperti persidangan, seminar, siri jelajah’, ceramah dan aktiviti pemasaran bagi memasarkan produk-produk hartanah PKNS serta memperkenalkan pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Muamalat.

Pembiayaan ini ditawarkan untuk pelbagai produk-produk hartanah PKNS yang sedang dan telah siap dibina merentasi seluruh kawasan di negeri Selangor.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN