Pengeluaran getah asli turun 11.8 peratus pada November 2022

Pengeluaran getah asli turun 11.8 peratus pada November 2022

Pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 11.8 peratus pada November 2022 berjumlah 28,048 tan metrik, daripada 31,975 tan metrik bulan sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan sebanyak 8.0 peratus daripada 30,493 tan metrik pada bulan sama 2021.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.2 peratus berbanding sektor estet sebanyak 12.8 peratus.

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada November 2022 menurun 1.4 peratus kepada 195,353 tan metrik berbanding 198,181 tan metrik pada Oktober 2022.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia November 2022.

Mohd. Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia pada November 2022 berjumlah 51,104 tan metrik, meningkat 23.0 peratus berbanding Oktober sebanyak 41,548 tan metrik.

Katanya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 54.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, diikuti Amerika Syarikat (3.6 peratus), Jerman (2.8 peratus), Turkiye (2.2 peratus) dan Brazil (1.8 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.10 billion pada
November 2022, menurun 5.0 peratus berbanding Oktober 2022 (RM1.13 billion),” tambah beliau.

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.3 peratus (November 2022: 472.58 sen sekilogram, Oktober 2022: 466.42 sen sekilogram), manakala Sekerap menurun 5.9 peratus
(November 2022: 443.36 sen sekilogram, Oktober 2022: 471.29 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula adalah dalam keadaan bercampur iaitu menurun 3.8 peratus serta meningkat 1.3 peratus.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, laporan analisis arah aliran pasaran getah asli yang diterbitkan oleh
Konsortium Getah Antarabangsa (IRCo) pada 14 Disember 2022 menyatakan bahawa, pengeluaran mungkin tidak meningkat “pada skala besar” dalam beberapa bulan akan datang di tiga negara pengeluar utama Thailand, Indonesia dan Malaysia.

“Ia disebabkan terutamanya oleh penyebaran penyakit daun, keadaan cuaca yang tidak menentu, peningkatan suhu iklim serta input baja yang rendah disebabkan oleh kos yang tinggi.

“Situasi kemarau di rantau ini dan keengganan untuk meneruskan aktiviti penorehan kerana harga getah asli yang rendah memberi kesan kepada pengeluaran,” katanya.

Menurut IRCo lagi katanya, perkara itu berkemungkinan akan berlaku di Indonesia dan Malaysia, yang menjejaskan keseluruhan pengeluaran getah asli di rantau ini sebanyak kira-kira 10 peratus pada separuh pertama 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN