Pelabur asing jual RM204.6 juta ekuiti tempatan 

Pelabur asing jual RM204.6 juta ekuiti tempatan 

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali mencatatkan aliran keluar bersih asing pada minggu dagangan terakhir 2022 sebanyak RM204.6 juta berbanding pembelian ekuiti dalam Malaysia sebanyak RM51.2 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam laporan aliran dana mingguan, MIDF Research berkata, minggu dagangan dipendekkan kerana penggantian cuti Krismas pada Isnin lalu.

Katanya, warga asing memulakan minggu ini dengan membeli ekuiti tempatan sebanyak RM10.1 juta pada Selasa dan RM99.2 juta Rabu lepas.

“Bagaimanapun, jumlah pembelian bersih itu tidak cukup untuk mengimbangi pengambilan untung pada Khamis sebanyak RM9.8 juta dan RM304.1 juta pada Jumaat.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah penjagaan kesihatan RM16.5 juta, teknologi (RM12.3 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM7.2 juta).

“Sementara itu, tiga sektor yang menyaksikan aliran keluar asing paling banyak ialah perladangan berjumlah RM64.7 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian (RM57.1 juta), dan perkhidmatan kewangan (RM46.0 juta),” katanya.

Pada minggu berakhir 30 Disember 2022, pelabur institusi tempatan sebaliknya membeli ekuiti tempatan sebanyak RM290.4 juta, berbanding jualan ekuiti sebanyak RM52.1 juta pada minggu sebelumnya.

Jualan ekuiti pelabur institusi tempatan direkodkan pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM44.6 juta dan RM149 juta dengan mencatatkan aliran masuk paling tinggi pada Jumaat berjumlah RM442.4 juta.

Pelabur runcit pula menjual ekuiti sebanyak RM85.8 juta pada minggu lalu setelah merekodkan pembelian ekuiti selama tiga minggu berturut-turut.

Menurut MIDF Research, pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM4.38 bilion selama 27 minggu daripada 52 minggu dagangan bagi tahun ini manakala pelabur institusi tempatan menyaksikan penjualan ekuiti sebanyak RM6.42 bilion bagi tempoh selama 33 minggu.

“Setakat akhir tahun ini, pelabur runcit mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM2.04 bilion bagi tempoh 33 daripada 52 minggu dagangan.

“Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing merekodkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus, 32.6 peratus dan 18.8 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN