PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjalinkan kerjasama pertamanya dengan Café Mesra, rangkaian makanan dan minuman (F&B) Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi mencipta pengalaman dalam kedai yang lebih menarik dan menawarkan kemudahan runcit di pejabat pos.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, pihaknya akan memanfaatkan berjuta-juta kaki persegi ruang runcitnya di lebih daripada 600 lokasi untuk menyediakan pengguna dengan pilihan tambahan dan kemudahan.
“Ini semua untuk memberikan senyuman pada pelanggan dan kini pelanggan kami dapat menjimatkan masa dan membeli daripada pilihan makanan dan minuman yang hebat di lokasi perintis kami.
“Kami sangat teruja dengan strategi transformasi runcit ini dan berharap untuk mengumumkan lebih banyak kemas kini yang menarik tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Brewer berkata, tiga lokasi perintis bagi Café Mesra adalah di Pejabat Pos Besar (GPO) Dayabumi, Kuala Lumpur; Pejabat Pos (PO) Taman Sri Tebrau, Johor dan GPO Shah Alam, Selangor.
Tambahnya, semasa tempoh pelancaran, Café Mesra akan memberikan kopi percuma dengan perbelanjaan minimum RM100 di cawangan GPO Dayabumi dan menawarkan donat percuma untuk sebarang pembayaran bil dan penghantaran bungkusan di GPO tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Mesra Retail & Café Sdn. Bhd., Ian Malcolm Cruddas pula berkata, pihaknya teruja dengan bekerjasama tersebut untuk membuka cawangan Cafe Mesra ke-41 mereka.
“Cawangan Cafe Mesra di GPO Dayabumi KL dan kemudiannya di Shah Alam, Tebrau dan Bangi adalah bukti usaha kami untuk menjadikan kehidupan seharian pelanggan kami lebih mudah dan baik,” ujarnya.
Mulai Julai 2022, PDB melancarkan Café Mesra, sebuah usaha pertumbuhan baharu untuk mengembangkan lagi portfolio bukan bahan apinya dalam perniagaan F&B.
Sejak dilancarkan, Café Mesra kini boleh didapati di 41 cawangan termasuk stesen dan kiosk Petronas. – UTUSAN










