PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus adalah bagi menyokong ekonomi domestik untuk terus mengekalkan momentum pemulihan, kata penganalisis ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bank pusat juga mengambil prihatin kesan kenaikan empat kali berturut-turut OPR sebanyak 1.0 peratus pada tahun lalu.
Katanya, ia bagi memberi ruang kepada rakyat dan perniagaan yang masih melaraskan kehidupan dan operasi masing setelah kenaikan berturut-turut tersebut.
“Misalnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyertai bidaan dan tender kerajaan kini mempunyai tempoh menyesuaikan kos mereka dan memperbaiki margin keuntungan yang lebih efektif.
“Ini termasuklah menyediakan kewangan perniagaan masing-masing sekiranya ada kenaikan kadar faedah lagi di masa depan,” katanya, semalam.
BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis lalu, membuat keputusan mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus berikutan tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ia sekali gus menamatkan kenaikan berturut-turut sebanyak empat kali tahun lalu daripada paras rekod terendah pada 1.75 peratus sebelum ini.
BNM berkata, langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi berkata, ekonomi negara masih lagi mengekalkan momentum seperti bulan-bulan akhir 2022 dan kadar inflasi berada pada paras terkawal walaupun inflasi teras masih memberikan ancaman kepada kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, sama ada BNM akan menaik atau menurunkan kadar OPR pada March nanti, bergantung kepada situasi ekonomi semasa ketika itu kerana ketidaktentuan hala tuju ekonomi dunia termasuk kebimbangan kemelesetan bakal berlaku tahun ini.
“Justeru, ia akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan ini antara faktor yg kritikal dan mempengaruhi keputusan BNM nanti.
“Berita OPR kekal menggembirakan rakyat dan perniagaan untuk menyambut 2023 serta Tahun Baharu Cina yang memberikan sedikit ruang untuk bernafas setelah dihujani dengan empat kenaikan OPR berturut-turut tahun lepas.
“Bagaimanapun golongan rakyat B40 dan M40 masih lagi bertarung dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk berbelanja secara berhemah serta mengurangkan keinginan membuat pinjaman baharu bagi mengelakkan risiko pembayaran bulanan yang bertambah selari dengan kenaikan OPR pada masa depan. – UTUSAN










