OPR dijangka naik 25 mata asas

OPR dijangka naik 25 mata asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) 2023, esok.

Jika benar, kenaikan tersebut adalah kali kelima berturut-turut sejak dinaikkan pada Mei tahun lalu, menjadikan OPR pada 3.0 peratus berbanding 2.75 setelah dinaikkan kali terakhir pada 3 November.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihak­nya menjangkakan OPR akan dinaik­an sebanyak 25 mata asas lagi untuk memastikan kadar inflasi kekal terkawal.

“Pada masa yang sama, kenaikan ini akan memastikan pelaburan di Malaysia akan kekal menarik untuk pelabur antarabangsa melalui kadar OPR yang lebih tinggi.

“Kenaikan ini mungkin akan diumumkan pada mesyuarat MPC minggu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sementara itu, AmBank Research dalam laporan Prospek Ekonomi 2023 turut mengunjurkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus yang merupakan paras sama sebelum pandemik.

Firma penyelidikan itu menjangkakan kenaikan tersebut adalah yang terakhir bagi tahun ini, namun tidak menolak kemungkinan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi jika kenaikan harga terus meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

“Kenaikan lagi juga mungkin berlaku jika bank pusat utama dunia mengetatkan lagi dasar kewangannya dengan lebih cepat, peningkatan harga komoditi dan kejutan dalam pertumbuhan ekonomi yang boleh mendorong inflasi melebihi 4.0 peratus.

“Sekiranya inflasi teras terbukti lebih degil daripada apa yang kami jangkakan pada masa ini, maka kami mungkin perlu menyemak semula jangkaan OPR ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, AmBank Research, menjangkakan inflasi menjadi sederhana pada 3.0 peratus pada tahun ini, didorong oleh pengukuhan ringgit dan harga ko­moditi yang lebih rendah.

“Inflasi teras pula dijangka menurun seiring dengan jangkaan kadar penggunaan swasta yang lebih perlahan dalam tempoh yang sama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN