PETALING JAYA: Netflix dilaporkan sanggup membayar sehingga AS$385,000 (RM1.67 juta) bagi mendapatkan calon sesuai untuk ‘kru impian’ baharunya, lapor CNBC.
Menurut CNBC, gergasi penstriman itu mencari pramugari utama untuk salah satu jet peribadi bersaiz super sederhana yang berpangkalan di San Jose, California berhampiran ibu pejabat syarikat itu di Los Gatos.
“Sebagai tambahan kepada tanggungjawab biasa seperti melakukan pemeriksaan kabin sebelum penerbangan dan menjalankan taklimat keselamatan, kru baharu ITU akan bertanggungjawab untuk menyelenggara bilik stok,” menurut skop kerja, lapor berita berkenaan.
Selain itu, kru terbabit juga akan dikehendaki terbang bersama jet Gulfstream G550 mengikut keperluan.
Netflix berkata, calon akan dikehendaki untuk “menunjukkan perwatakan profesional selaku wakil Netflix Aviation pada sepanjang masa semasa melaksanakan tugas,” selain menerima budaya kerja Netflix dan dapat “bertugas dengan arahan minimum.”
Memetik Netflix, CNBC berkata, calon dijangka dapat membantu Netflix Aviation menyediakan “pengangkutan udara persendirian” dan dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh “budi bicara.”
Laporan itu menambah, Netflix tidak menawarkan julat pampasan khusus untuk peranan itu, tetapi menyenaraikan julat keseluruhan pasaran untuk kedudukan serupa antara AS$60,000 hingga AS$385,000.
“Jumlah bayaran akhir akan ditentukan oleh “pelbagai faktor” termasuk kemahiran dan pengalaman,” kata syarikat itu. – AGENSI










