Negara perlu dasar perumahan yang dinamik

Negara perlu dasar perumahan yang dinamik

KERATAN UTUSAN MALAYSIA 24 JANUARI 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian semula Dasar Perumahan Negara (DPN) oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilihat bertepatan memandangkan negara memerlukan dasar perumahan yang dinamik dan tidak terlalu statik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, ia ekoran desakan kemampuan membeli serta keperluan isi rumah yang memerlukan unit kediaman sesuai.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berkata, intipati DPN sedia ada yang membawa kebaikan kepada semua pihak perlu dikekalkan.

“Kalau boleh kita perlukan satu dasar perumahan yang dinamik dan tidak terlalu statik, di mana maksudnya bukan tidak boleh diubah tetapi kalau diubah untuk memberi kebaikan atau kepentingan kepada negara itu adalah lebih baik.

“Mana-mana dasar yang elok kita perlu kekalkan dan cuma buat penambahan sahaja sama seperti dasar negara-negara lain supaya apa yang kita hendak capai itu jelas,” katanya.

Tambah beliau, apabila melak­sanakan sesebuah dasar, kajian semula perlu dilaksanakan dipertengahannya bagi melihat sama ada ia mencapai sasaran ditetapkan atau tidak.

“Ia elok dilihat semula supaya ada kesinambungan di situ, jadi ada beberapa sasaran utama masih boleh dikekalkan dan tidak diubah secara drastik sebagai contoh berapa sasaran untuk rumah golongan pertengahan M40 dan B40,” katanya.

Mengulas cadangan KPKT untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura, Muhammad Ridhuan berkata, kementerian boleh merujuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.

Katanya, ia bertujuan untuk mendengar pandangan dan kepakaran HDB memandangkan budaya kedua-dua negara hampir sama.

“Sebenarnya Singapura bukan hanya melihat setakat elemen perumahan berapa unit perlu dibangunkan tetapi mereka melibat pelbagai faktor termasuk kejiranan dan sebagainya.

“Saya kaji Singapura beberapa tahun lepas dan melihat bagaimana HDB berjaya menyediakan kawasan perumahan yang sistematik dan harmoni sebab mereka memenuhi keperluan isi rumah itu sendiri,” katanya.

Kelmarin, KPKT mengumumkan akan mengkaji semula DPN berdasarkan rangkuman intisari MADANI dan percaya sasaran menyediakan 500,000 buah rumah mampu milik menjelang 2025 akan berjaya melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur.

Katanya, beberapa contoh DPN dari negara luar akan dilihat KPKT termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN