MPOB: Tiada birokrasi pembaharuan lesen peniaga sawit - Utusan Malaysia

MPOB: Tiada birokrasi pembaharuan lesen peniaga sawit

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan wujudnya birokrasi dalam pembaharuan lesen peniaga buah kelapa sawit (DF) adalah tidak tepat kerana kelewatan itu adalah disebabkan kegagalan pemohon untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB menegaskan proses itu akan dibuat segera sekiranya tiada sebarang perubahan pada entiti perniagaan dan pemilikan premis yang dilesenkan.

MPOB berkata, semua permohonan lesen MPOB dikehendaki melalui prosedur operasi standard (SOP) serta tertakluk kepada kriteria lesen dan polisi permohonan lesen yang telah ditetapkan oleh lembaga bagi tujuan mengawal selia industri sawit secara sihat, sempurna dan teratur.

“Sekiranya terdapat pindaan, pemohon akan dimaklumkan dan diberi tempoh selama 14 hari bekerja untuk mengemukakan dokumen daripada tarikh permohonan diterima oleh MPOB.

“Kegagalan pemohon mengemukakan dokumen yang diperlukan menyebabkan pembaharuan lesen lewat diproses atau ditutup,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada 11 Januari lepas ke atas dakwaan mengenai syarat pengeluaran lesen peniaga sawit oleh MPOB.

Menurut MPOB, pemegang lesen DF disyaratkan untuk menyediakan jambatan timbang atau pusat pengumpulan.

Syarat tersebut ditetapkan sejak 2005 dan telah ditambah baik melalui Pekeliling Penguatkuasaan (Pelesenan) MPOB Pk(EL)MPOB1/2017 pada 1 Jun 2017 iaitu dengan memberi kelonggaran kepada pemegang lesen DF untuk menyiapkan pembinaan pusat timbang sehingga enam bulan daripada tarikh kelulusan diberikan.

“Merujuk kepada dakwaan pengadu berkaitan sesi pendengaran pada 7 Disember 2022, beberapa DF (termasuk dua syarikat milik pengadu) telah dipanggil bagi memberi penjelasan akan kegagalan syarikat mematuhi mana-mana peruntukan akta atau mana-mana pekeliling penguatkuasaan MPOB.

“Kedua-dua syarikat diberi kelulusan lesen pada 2006 dan telah menjalankan urus niaga sawit di tempat selain daripada premis yang dilesenkan dan ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 22(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya.

Ujarnya, pengadu sedia maklum bahawa premis rumah kediaman yang digunakan untuk urus niaga adalah tidak sesuai dan tidak mempunyai pusat timbang atau pusat pengumpulan.

Mengulas mengenai aduan berkaitan kelewatan pembaharuan lesen pula, MPOB berkata ia adalah berkaitan dengan keperluan syarikat untuk mengemukakan maklumat dan dokumen terkini bagi proses permohonan pembaharuan lesen.

“Keperluan dokumen tersebut penting bagi memastikan kesahihan permohonan yang dikemukakan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.