Maxis, MARDI jalin kerjasama

Maxis, MARDI jalin kerjasama bangun penyelesaian berasaskan pertanian, agrimakanan

MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman antara Maxis dan MARDI bagi membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agrimakanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maxis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agrimakanan.

Kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk menintegrasikan kejuruteraan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam projek-projek bagi industri pertanian yang mampan serta berdaya saing.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone.

Mohamad Zabawi berkata, sektor pertanian terus menjadi satu daripada enjin pertumbuhan terpenting bagi ekonomi negara.

“Kerjasama ini adalah tepat pada masanya kerana pihak kami menantikan pemodenan amalan pertanian melalui pelaksanaan pendekatan baharu yang berdasarkan teknologi moden dan pembangunan mampan

“Ini sekali gus selaras dengan Revolusi Industri (IR 4.0) dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Claire berkata, integrasi data dan kesalinghubungan adalah kritikal bagi kemajuan industri dan terdapat banyak peluang untuk meningkatkan produktiviti serta hasil bagi petani tempatan melalui peningkatan automasi.

“Maxis teruja untuk bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan serta merintis penyelesaian pintar melalui aplikasi internet kebendaan (IoT) dan lebar jalur yang lebih tinggi untuk meningkatkan amalan pertanian harian,” ujarnya.

Sebagai perintis, Maxis dan MARDI akan mengusahakan ketepatan pertanian untuk halia di kemudahan MARDI di seluruh negara.

Mereka bakal menggunakan sistem automatik untuk menggunakan fertigasi dengan baja titisan, analisis data besar, serta pengawasan 24 jam sehari tujuh hari seminggu.

Projek rintis ini bertujuan melancarkan teknologi kepada lebih 400 usahawan pertanian halia bagi meningkatkan kecekapan serta melengkapkan MARDI dengan data berguna mengenai cara menggunakan teknologi dalam menangani cabaran sekuriti makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN