Masihkah relevan perolehan secara runding terus pada 2023?

Masihkah relevan perolehan secara runding terus pada 2023?

TANAH runtuh di Batang Kali, Selangor antara contoh pelantikan kontraktor secara runding boleh dibuat terus bagi kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN pesat terutama dalam aspek pembinaan infrastruktur di Malaysia kian rancak sementelah berakhirnya era pandemik. Ia dapat dilihat dengan pembinaan lebuh raya SUKE, LRT, MRT dan beberapa bangunan baharu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan juga negeri-negeri lain. Apa yang pasti, pembangunan ini amat signifikan bagi memenuhi kehendak masyarakat yang memerlukan fasiliti dan infrastruktur yang berkualiti dalam menjalani urusan harian.

Penghasilan projek yang berkualiti di mana ia dapat dibina dan disiapkan dalam tempoh masa, kos dan kualiti yang dipersetujui dalam kontrak bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Pelbagai cabaran sering diperkatakan oleh pemain industri binaan dalam merekabentuk, membina dan menyiapkan sesuatu projek pembangunan tidak kira sama ada projek bangunan mahupun infrastruktur berat. Antaranya adalah keberkesanan sistem perolehan (procurement system) yang dipilih bagi melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Pemilihan sistem perolehan yang tepat akan mempengaruhi kualiti penghasilan projek yang mana ia perlu memenuhi kepuasan pihak klien secara menyeluruh.

Secara umumnya, sistem perolehan merupakan suatu tatacara untuk melantik kontraktor bagi pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan. Terdapat beberapa kaedah perolehan boleh dijalankan bagi melantik kontraktor seperti melalui sebutharga, tender terbuka, tender reka dan bina, penswastaan, bersekutu (partnering), usaha sama (joint venture), permintaan (requisition), gotong-royong, kontrak pusat, pra-kelayakan, request for proposal dan juga rundingan terus.

HANGAT DIPERKATAKAN
Sepertimana semua maklum, perolehan rundingan terus sedang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat kini. Ditambah pula dengan berita terkini di mana pihak kerajaan turut melihat perkara ini sesuatu yang serius di mana perolehan runding terus perlu dikaji semula tahap keberkesanannya. Tender secara terus ini dikatakan sangat terdedah kepada masalah “salah pilih kontraktor” yang mana ia sering dikaitkan dengan isu kroni (cronyism). Hal yang sama juga berlaku di luar negara seperti Hong Kong misalnya yang mana ia dikenali sebagai “Quanxi” (ahli keluarga atau saudara mara terdekat). Sebagai remedi kepada situasi ini, semua urusan perolehan projek kerajaan disarankan melalui proses tender secara terbuka.

Tender terbuka atau tender konvensional merupakan satu kaedah perolehan yang sangat meluas digunakan sama ada di negara maju mahupun negara membangun seperti Malaysia. Sistem ini dilihat sebagai suatu pendekatan yang efektif kerana ia membuka peluang yang saksama kepada semua kontraktor untuk bersaing secara sihat dalam menawarkan harga yang terbaik dan berpatutan kepada pihak klien. Perkara ini selaras dengan prinsip perolehan itu sendiri yang pada dasarnya membuka dan memberi peluang sama rata kepada semua kontraktor yang layak untuk bertanding bagi memperoleh sesuatu projek pembinaan.

Walaupun sistem tender runding terus menjadi bahan perdebatan pelbagai pihak, namun ia masih dianggap sebagai suatu kaedah yang relevan bagi situasi-situasi tertentu. Sebagai contoh, projek-projek yang mempunyai rekabentuk yang kompleks, tempoh masa projek yang singkat, bajet yang terhad, dan juga memerlukan teknologi termaju yang spesifik. Bukan itu sahaja, malah ia juga masih sesuai digunakan bagi projek-projek yang melibatkan perolehan keselamatan atau pertahanan negara atau ketika berlakunya bencana alam.

ASPEK KERAHSIAAN
Dalam pembangunan infrastruktur yang melibatkan aspek keselamatan dan pertahanan negara seperti kem askar, penjara, dan pusat pentadbiran negara, kaedah secara runding terus ini amat diperlukan. Hal ini kerana ia melibatkan aspek kerahsiaan negara yang mana mungkin sukar dikawal dan boleh mendedahkan bahaya kepada negara jika sesuatu projek keselamatan dan pertahanan dibuat secara tender terbuka.

Manakala, sesuatu kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan kejadian tanah runtuh, sistem rundingan terus memainkan peranan penting di mana keputusan perlu dibuat oleh kerajaan dalam melantik kontraktor bagi pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir, penambahbaikan dan pembersihan secara segera bagi mengekang perkara yang tidak diingini terus berlaku.

Kejadian bencana tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini di Batang Kali yang berhampiran dengan jalan utama yang menghubungkan antara laluan Batang Kali dan Genting Highland merupakan situasi yang memerlukan kerajaan untuk bertindak segera. Bukan itu sahaja, malahan keputusan segera diperlukan bagi kerja-kerja pemulihan pasca bencana alam luar jangka seperti penambahbaikan cerun dan memelihara kestabilan jalan raya. Apa yang jelas, kaedah secara runding terus memainkan peranan utama bagi situasi terdesak sebegini.

Oleh yang demikian, pertimbangan yang sewajarnya amat diperlukan dalam membuat keputusan untuk tender runding terus tidak diteruskan. Ia bukan sahaja akan memberi impak kepada pihak kontraktor, malahan ia juga akan memberi impak kepada masyarakat umumnya. Pelaksaanan sedia boleh ditambahbaik di mana prosedur pelantikan kontraktor diperkemas dan lebih sistematik.

Hanya kontraktor yang “berwibawa”, mempunyai pengalaman kerja lepas yang cemerlang serta memiliki kekuatan sumber termasuk kewangan, teknikal dan pekerja yang mencukupi dan tidak mempunyai sebarang kes berkaitan kelewatan atau disenarai hitamkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh dipilih bagi menjalankan projek.

Selanjutnya, proses rundingan harga perlu melalui tapisan yang terperinci dan harga yang ditawarkan kepada kontraktor juga perlu munasabah dan mengambil kira kadar harga pasaran semasa. Hal ini amat penting, kerana setiap wang yang dirunding di antara dua pihak yang berkontrak adalah melibatkan wang kerajaan iaitu hasil kutipan dari pembayar cukai yang terdiri rakyat Malaysia yang setia dengan tanah air. Bukan itu sahaja, setiap masyarakat tidak kira dalam mahupun luar bandar adalah golongan yang layak untuk merasai dan menikmati setiap pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.

Penulis adalah:
lMd. Asrul Nasid Masrom: Ketua Koordinator Jaringan Global, Unit Building Infomation Modelling (BIM), Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
lSr Norazilan Mazahar: Penolong Juruukur Bahan Kanan, Bahagian Kontrak Dan Ukur Bahan (BKUB), Jabatan Pengurusan Pembangunan Dan Harta Benda (JPPHB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×