KJRI-Johor wujud pasukan petugas khas tingkat sektor ekonomi

KJRI-Johor wujud pasukan petugas khas tingkat sektor ekonomi

SIGIT S. WIDIYANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah pasukan petugas khas akan diwujudkan oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dan kerajaan Johor untuk me­ningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, pasukan petugas khas itu akan meneliti beberapa sektor ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh ahli perniagaan kedua-dua pihak dan sekiranya berhasil akan menjadi program perintis bagi kerjasama sedemikian.

“Sejak menjawat jawatan ini Ogos lalu, saya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dalam pertemuan itu kami merancang untuk mewujudkan sebuah pasukan petugas khas.

“Pasukan ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara Johor dan Indonesia, dengan inputnya akan diambil daripada kedua-dua pihak, iaitu KJRI Johor Bahru dan kerajaan Johor.

“Pada waktu ini kita sedang mengkaji sektor-sektor ekonomi yang boleh dilibatkan, Insya-Allah dalam bulan ini atau Februari akan ada perjumpaan lagi untuk teliti bidang kerjasama berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra KJRI Johor Bahru bersama Kelab Media Johor, di ibu pejabat KJRI Johor Bahru, di sini semalam.

Dalam pada itu Sigit memberitahu, kerajaan Malaysia juga sudah memulakan perancangan untuk melabur di ibu negara baharu Indonesia, iaitu Nusantara yang sedang giat dibangunkan ketika ini.

“Bermula 2024 hingga 2045, Nusantara akan dibangunkan, dan Malaysia juga antara negara luar yang akan melabur. Jadi, KJRI Johor Bahru mahu membantu kerajaan Johor untuk melihat bidang kepakaran mereka yang boleh dimanfaatkan.

“Mungkin ada bidang kekuatan Johor dan kita akan jadi penghubung. Ini bukan sahaja untuk pelaburan dan perkembangan ekonomi Indonesia, malah juga pelaburan syarikat Indonesia di negeri ini,” jelas­nya.

Sebelum ini, Johor, Indonesia dan Singapura telah mempu­nyai kerjasama ekonomi antara tiga pihak dalam kawasan Pertumbuhan Segitiga Singapura-Johor-Riau (Sijori). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN