PETALING JAYA: Kenaikan oleh Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangkakan akan terus memperlahankan ekonomi negara seiring dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia tahun hadapan, kata penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, BNM bagaimanapun terpaksa menaikkan lagi OPR untuk menjadikan pasaran modal negara seiring dengan negara-negara lain apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus menaikkan kadar faedah pada tahun ini.
Katanya, perkara tersebut perlu dilakukan untuk melindungi pasaran kewangan negara dan seiring dengan rata-rata bank pusat negara lain yang terus menaikkan kadar faedah masing-masing untuk menurunkan permintaan dalam ekonomi yang dikatakan menjadi punca kepada kenaikan inflasi.
“Sekiranya tidak dinaikkan, maka berkemungkinan pengurus-pengurus dana bagi pelabur asing dan tempatan akan memindahkan pelaburan masing-masing ke luar negara kerana faedah yang ditawarkan adalah lebih menguntungkan mereka.
“Sekiranya ini berlaku,maka nilai matawang ringgit akan turut jatuh apabila berlaku penukaran dari ringgit kepada dolar AS untuk membawanya keluar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual bermesyuarat pada 19 Januari ini bagi memutuskan sama ada akan menaikkan OPR atau sebaliknya. OPR negara kini pada tahap 2.5 peratus dengan BNM telah menaikkan 75 mata asas sejak Januari tahun lalu.
Tambah beliau, sebaliknya ekonomi domestik pula akan menghadapi tekanan inflasi disebabkan lebih kepada kenaikan harga oleh pembekal berikutan barangan yang di import dan akan membebankan lagi para peniaga dan pengguna.
“Hampir semua jenis pinjaman yang diapungkan kadarnya akan memberikan keresahan kepada pembayar berikutan kenaikan pembayaran pinjaman bulanan. Pengguna dan peniaga juga tidak mempunyai hasrat untuk membuat pinjaman yang baru kecuali hanya kerana terpaksa atau terdesak.
“Bagi mereka yang mempunyai simpanan yang lebih pastinya gembira dengan kenaikan kadar faedah tetap, namun simpanan di pengurusan dana lain juga tidaklah begitu baik kerana pasaran saham negara juga turut menurun dengan indek bursa malaysia telah turun dari 1600 mata kepada 1400 mata pada 2022,” ujarnya.
Sementara itu, Felo Kehormat, Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, kenaikan OPR perlu jika kadar inflasi terus mencanak terutamanya dalam ekonomi global yang dijangka berdepan dengan kemelesetan pada tahun ini.
Beliau berkata, perkara tersebut adalah bagi menggalakkan rakyat untuk menabung yang mana mereka akan mendapat faedah lebih tinggi berbanding terus berbelanja yang sekaligus meningkatkan lagi kadar inflasi kerana aliran wang banyak pasaran berbanding barangan yang kurang.
“Tambahan pula pada 2023 situasi ekonomi global agak merisaukan yang mana ekonomi dunia dijangka meleset. Apabila berlaku kemelesetan, maka harga barang akan naik dan seterusnya membawa kepada peningkat kadar inflasi.
“Selain itu, kenaikan OPR juga bergantung pada situasi antrabangsa terutamanya kenaikan kadar faedah oleh Fed. Setiap kali Fed menaikan kadar faedah negara-negara tiada pilihan selain menaikkan juga,” jelasnya. – UTUSAN










