PETALING JAYA: Industri automotif tempatan berdepan kesukaran untuk meningkatkan jualan pada tahun ini, berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah.
Selain kenaikan kadar faedah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad (Proton), Roslan Abdullah berkata, tempoh pengecualian cukai jualan yang akan berakhir Mac ini dilihat memberi cabaran kepada pemain industri automotif.
Dalam konteks Proton kata beliau, syarikat automotif nasional itu yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu pada tahun ini.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) akan menyusut daripada jumlah rekod 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pencapaian Proton pada tahun lalu, Roslan berkata, 2022 merupakan tahun yang dipenuhi dengan pencapaian dan pelbagai rintangan dihadapi syarikat berkenaan.
Jelasnya, banjir pada penghujung 2021 telah memberi kesan sehingga ke suku pertama hingga menyebabkan Proton ketinggalan ke belakang dan menjalin kerjasama dengan vendor untuk memulihkan keadaan bekalan alat ganti.
“Syukurlah, jumlah itu dapat dikejar dalam tempoh tiga suku yang seterusnya, tetapi kami yakin kami boleh mencapai lebih banyak dan mencatatkan angka yang lebih baik jika tidak menghadapi permulaan tahun yang mencabar.
“Proton kini mempunyai pertumbuhan jualan untuk empat tahun berturut-turut, dan kami berbangga menjadi satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang mencapainya dari tahun 2019 hingga tahun 2022,” katanya.
Proton mengumumkan jualan sebanyak 141,432 unit kenderaan dalam pasaran domestik dan eksport pada 2022.
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak menolak bahawa 2023 menjadi sedikit mencabar kepada industri automotif.
Walaubagaimanapun beliau berkata, MAA akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi cabaran berkenaan ekoran situasi semasa ekonomi dunia.
“Kita tahu ekonomi dunia dikatakan akan merosot pada 2023 namun kita melihat mungkin ada perkembangan (industri automotif) tetapi tidak tinggi kerana cabaran itu tetap ada.
“Industri automotif ini sudah melalui macam-macam cabaran dan yang penting kita akan cari jalan untuk mengatasi cabaran itu,” katanya. – UTUSAN










