JOHOR BAHRU: JLand Group Sdn. Bhd. (JLG) yang merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp), berjaya merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM45.6 bilion sepanjang tahun lalu.
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pihaknya kini merancang untuk meluas dan mengembangkan portfolio pembangunan industri dan perbandaran bahagian pelaburan hartanah Kumpulan berkenaan.
Menurutnya, perancangan tersebut membabitkan hartanah berkualiti dan bermutu tinggi bukan sahaja dalam negara, malah juga pasaran antarabangsa.
“Misi JLG adalah untuk menjadi penyedia penyelesaian hartanah sehenti yang memberikan kelebihan kompetitif kepada perniagaan sambil memenuhi keperluan, aspirasi dan kitaran hayat perniagaan, industri dan generasi akan datang.
“JLG juga akan bekerjasama rapat dengan peserta industri bagi mengenal pasti, merintis dan mengguna pakai teknologi serta penyelesaian baharu dalam sektor hartanah dan infrastruktur,” katanya pada Majlis Pelancaran JLG yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Menara Komtar, dekat sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani.
Syed Mohamed mengakui, ketika ini adalah masa paling sesuai untuk JLG meneroka bidang pertumbuhan baharu dalam sektor hartanah dan infrastruktur dengan mengambil kira peluang semasa.
“JCorp mahu membina sebuah entiti ulung yang memberi tumpuan terhadap teknologi dan infrastruktur dalam ekonomi baharu, manakala JLG adalah platform untuk mengukuhkan inovasi dan kecekapan modal bagi menjamin ekosistem perniagaan mampan.
“Perniagaan teras JLG terdiri daripada empat tunggak, iaitu Pembangunan Hartanah, Pengurusan Kitaran Hayat Aset, Pelaburan Hartanah serta Infrastruktur dan Utiliti. Empat bidang ini merangkumi pelbagai industri dalam negara dan luar,” jelasnya. – UTUSAN










