Industri Hemp, MHIRA kongsi kepakaran di PBB

Industri Hemp, MHIRA kongsi kepakaran di PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penyelidikan Industri Hemptech Malaysia (MHIRA) menerima undangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wakil dari Malaysia untuk sesi bengkel Hemp Industri.

Pengerusi & Pengasas MHIRA, Johan Mohamad telah diundang oleh United Nations Conference of Trade & Development (UNCTAD) untuk pembentangan mengenai pembangunan sektor Hemp dan aktiviti pendidikan oleh MHIRA di Malaysia.

Beliau diiringi Setiausaha MHIRA, Ahmad Qaiyum turut berazam untuk membantu menambah baik satu nilai ekonomi baharu buat Malaysia.

Menurut MHIRA, tujuan persatuan menyertai program itu adalah sebagai pemacu tajuk dalam membantu negara untuk meneroka potensi industri hemp sebagai sumber bahan termaju di samping mendapat manfaat melalui sifat ekologi dan potensi pembangunan ekonomi komoditi pelbagai guna ini.

“MHIRA akan membentangkan usaha pendidikan dan kesedaran dalam kalangan ahli-ahli berkaitan Hemp di Palais des nations, Geneva serta hasrat MHIRA untuk memperkenalkan makanan haiwan daripada Hemp sebagai pengenalan dalam konteks kajian di Malaysia yang mana usul tersebut masih belum disahkan secara jelas,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pengalaman MHIRA dalam membangun pendidikan dan kajian untuk makanan haiwan (animal feed) sebagai solusi keterjaminan makanan dan pembangunan bahan binaan dan fabrik di peringkat tempatan juga akan dikongsikan pada sidang UNCTAD di Geneva.

Selaku delegasi Asia yang mewakili Malaysia, katanya, MHIRA berhasrat untuk menyalurkan ilmu yang diperoleh bersama-sama pihak berkepentingan di Malaysia.

“Ini supaya perkongsian ilmu dalam industri Hemp dalam dibentangkan kepada kementerian terbabit dan agensi yang dipertanggungjawabkan. Memandangkan industri hemp adalah berbeza dengan industri perubatan kanabis, perkara ini diharap dapat memberikan impak terhadap kelestarian dan kesejahteraan sebagai penggerak penting menuju pembangunan negara mapan.

“Melalui usahasama di peringkat antarabangsa ini diharapkan mampu untuk meletakkan Malaysia mampu untuk berdaya saing dalam Industri Hemp untuk mempelbagaikan sumber ekonomi di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata, Hemp harus diberi peluang di Malaysia untuk ditanam bermula dengan konteks kajian.

Katanya, ia supaya satu garis panduan terpimpin berkaitan kelestarian dapat dilaksanakan sebaiknya dalam negara.

“MHIRA berharap dengan pengalaman di Geneva bersama-sama penggubal polisi UN dan pemain industri Hemp antarabangsa, peluang baharu dapat diperkenalkan di Malaysia melalui perkongsian ilmu dan maklumat yang progresif demi
pembangunan negara Malaysia,” jelas beliau.

MHIRA telah ditubuhkan untuk membolehkan masyarakat mempelajari Teknologi Hijau dan Industri berkaitan Hemp di Malaysia.

Hemp dikenali sebagai tumbuhan yang menakjubkan. Tanaman Hemp hanya menggunakan jumlah kecil air berbanding tanaman lain dan setiap bahagian Hemp sangat berguna dan mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Dari segi kelestarian alam, penanaman Hemp dapat menyerap lebih banyak karbon dioksida untuk setiap satu hektar berbanding tanaman yang lain.

Menurut laporan BBC pada 2014, Hemp dapat menghasilkan lebih 40,000 industri sedia ada dengan menambah baik produk mahupun bahan mentah organik dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×