PETALING JAYA: Jualan industri automotif negara mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun lalu dengan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan merekodkan jualan lebih tinggi dipacu oleh permintaan yang kukuh.
Selepas Proton yang mencatatkan jualan tertinggi dalam tempoh kira-kira 10 tahun, dua lagi pengeluar iaitu Honda Malaysia dan Perodua turut merekodkan jualan lepasi sasaran.
Honda Malaysia misalnya, merekodkan jualan lebih 80,200 unit pada 2022, melepasi sasaran sebanyak 80,000 unit, peningkatan 51 peratus daripada 2021.
Pencapaian jualan yang luar biasa tersebut membolehkan Honda Malaysia mengekalkannya kedudukan sebagai jenama kereta nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk sembilan tahun berturut-turut sejak 2014.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, 2022 merupakan tahun yang mencabar dengan kekurangan cip global dan bencana banjir yang telah menjejaskan pengeluaran kereta syarikat.
Katanya, dengan semangat yang tinggi, Honda Malaysia berjaya melepasi sasaran jualan dengan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pelanggan dan pengedar kami atas sokongan padu mereka terhadap jenama Honda, serta kerajaan Malaysia untuk lanjutan pengecualian cukai jualan.
“Kami bekerjasama rapat dengan pembekal dan pengedar untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya untuk pelanggan, terutamanya mereka yang menempah kereta mereka semasa tempoh pengecualian cukai jualan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, prestasi jualan 2022 yang cemerlang adalah disebabkan oleh pelancaran Civic pada Januari.
Perodua pula mencatatkan rekod jualan tertingginya tahun lalu sebanyak 282,019 unit, melonjak 48.2 peratus berbanding 190,291 unit yang didaftarkan pada 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian terbaik sejak penubuhannya pada 1993 itu diraih selepas berjaya menempuh cabaran besar sepanjang tahun lalu.
Ia termasuk pemulihan ekosistem akibat daripada banjir besar, kekurangan pekerja akibat lonjakan kes Covid-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.
“Industri banyak belajar ketika melalui fasa pandemik dan kami menyedari perlu mengambil langkah yang proaktif untuk pulih pada 2021, yang mana menyaksikan pelbagai cabaran dan daripada itu kami memaksimumkan potensi ekosistem pada 2022.
“Dengan perancangan yang betul, Perodua dan rakan niaga kami bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini, tetapi memperoleh pertumbuhan yang sangat diperlukan untuk industri.
“Matlamat kami adalah untuk memenuhi jangkaan pelanggan terhadap kami bukan sahaja dari segi penyampaian produk dan perkhidmatan tetapi juga dalam memperkenalkan tawaran nilai yang lebih hebat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










