PETALING JAYA: Incite Foodtech Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi makanan bersetuju untuk memperoleh Eatcosys Sdn. Bhd., syarikat penyelesaian teknologi peruncitan tempatan yang baru-baru ini diiktiraf oleh KPMG dan HSBC sebagai salah satu syarikat ‘unicorn’ Malaysia yang berpotensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Incite Foodtech, Karen S. Puah berkata, pemerolehan itu akan membolehkan Kumpulan mencapai cita-cita untuk membangunkan ekosistem teknologi peruncitan bersepadu yang komprehensif di rantau ASEAN, terdiri daripada teknologi pengguna, penyelesaian pemasaran runcit, penyelesaian teknologi runcit dan perkhidmatan teknologi kewangan (fintech).
Kata beliau, sektor pengguna fokus kepada jenama makanan dan minuman, di mana ia bakal dikembangkan untuk turut merangkumi barangan runcit, kedai serbaneka, farmasi dan cawangan kedai peralatan elektrik.
“Penyelesaian pemasaran runcit menawarkan program penebusan, promosi karakter berlesen, kerjasama penjual dan pengaktifan pengguna,manakala penyelesaian teknologi runcit fokus kepada sistem jualan ‘point-of-sale’ (POS), pengurusan hubungan pelanggan, analitik data dan gerbang pembayaran.
“Perkhidmatan fintech terdiri daripada pinjaman digital, pendanaan ekuiti melalui crowdfunding dan modal usaha niaga,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengerusi Eatcosys, Tham Lih Chung berkata, kedua-dua pihak menyasarkan untuk merevolusikan pasaran teknologi runcit di Malaysia, yang diintegrasikan dengan fintech.
“Inilah masa yang terbaik untuk kami bergabung tenaga dan membina ekosistem yang komprehensif, dengan saham terbitan awam (IPO) sebagai matlamat utama.
“Kami menyasarkan untuk mencapai hasil RM100 juta dalam tempoh 12 bulan dan sedang meneroka untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka di rantau ASEAN,” katanya.
Usaha tersebut menunjukkan gabungan kepakaran kedua-dua pihak serta rencana tawaran yang berbagai untuk mewujudkan ekosistem peruncitan bersepadu yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C).
Perkembangan itu juga selaras dengan seruan kerajaan terkini dalam mengajak pemain industri untuk membangunkan lebih banyak produk inovatif dan strategi pembangunan pasaran melalui penggunaan ekonomi digital, ke arah revolusi industri runcit.
Data transaksi langsung daripada sektor pengguna, penyelesaian pemasaran runcit dan penyelesaian teknologi runcit digunakan sebagai penanda aras panduan untuk perkhidmatan fintech.
Semua tawaran berkaitan kewangan telah dilesenkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM), serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). – UTUSAN










