PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangkakan indeks harga pengguna (IHP) berkembang pada purata antara 3 hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding 3.3 peratus pada 2022.
Ekoran itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin terpaksa menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3 peratus dalam menangani tekanan inflasi akibat penurunan aktiviti ekonomi.
CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajiannya menjangka IHP berkembang pada kadar rendah sebanyak 3 peratus tahun ke tahun pada 2023 ekoran langkah-langkah kawalan harga yang berterusan.
Katanya, meskipun inflasi keseluruhan menunjukkan tanda-tanda sederhana berikutan kesan asas rendah yang berkurangan dan penurunan harga komoditi, campur tangan kerajaan dalam barangan yang ditadbir akan berterusan dalam tempoh terdekat.
“Kami menjangka inflasi akan berkurangan pada asas tahun ke tahun tetapi kekal tinggi dalam jangka pendek hingga sederhana berdasarkan tekanan harga yang berterusan,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, semakan semula subsidi elektrik pada Januari 2023 bagi pengguna bukan domestik serta bukan perusahaan kecil dan sederhana (voltan rendah) berkemungkinan akan membawa kepada peningkatan dalam inflasi keseluruhan.
“Bagaimanapun, impaknya akan menjadi minimum memandangkan sumbangannya yang terhad kepada bakul.
“Selain itu, pergerakan harga baru-baru ini didorong terutamanya oleh faktor tolakan kos berbanding tarikan permintaan di tengah-tengah pasaran buruh yang lebih tegar di dalam negara, dengan gaji terhad,” katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan IHP akan menunjukkan penurunan sehingga berada pada paras 3.1 peratus hujung tahun ini.
Katanya, risiko terhadap inflasi kekal condong kepada peningkatan, ekoran daripada kemungkinan skim pelarasan subsidi pada tahun ini, serta kesan pembukaan semula China ke atas harga komoditi global.
“Sekiranya risiko ini menjadi kenyataan, kami fikir BNM mungkin meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) lagi,” katanya.
Selain itu, Public Investment Bank turut menjangkakan tekanan inflasi kekal tinggi dalam tempoh terdekat, dengan inflasi keseluruhan negara berada purata dalam julat 3.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini.
Firma berkenaan juga turut menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat MPC Mac dan Mei tahun ini.
Ia mengandaikan bank pusat akan menaikkan kadar utama dengan 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada separuh kedua tahun ini tetapi bergantung kepada langkah-langkah dasar domestik. – UTUSAN










