PETALING JAYA: Harga hotel di Kota Mekah dan Madinah yang naik sehingga 110 peratus, mengakibatkan harga pakej umrah dikendalikan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan pada saat akhir sebelum jemaah berlepas ke tanah suci.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Travenexx Tours Sdn. Bhd., Hairul Anwar Ali, kenaikan harga hotel tersebut telah bermula dari awal tahun lalu sebelum bulan puasa.
Kata beliau, kenaikan harga hotel waktu itu adalah 10 hingga 20 peratus sahaja, namun ia melonjak dengan mendadak selepas tamat musim haji 2022.
“Harga hotel kini meningkat dengan ketara sehingga 110 peratus. Sebagai contoh, jika sebelum ini harga hotel sekitar 600 riyal, harga sekarang menjadi 1,200 hingga 1,400 riyal.
“Saya melihat kenaikan harga terbabit akan terus berlaku disebabkan penawaran melebihi permintaan.
“Sekarang jumlah orang pergi ke tanah suci sangat tinggi tetapi tempat tinggal tidak mencukupi kerana kebanyakan hotel di sana masih dalam proses pemulihan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hairul Anwar turut menekankan, bakal jemaah umrah juga harus ingat bahawa antara faktor utama kenaikan harga pakej disebabkan harga tiket pesawat yang juga semakin meningkat.
“Walaupun berdepan kenaikan kos, saya berpendapat minat orang ramai tidak akan berkurang untuk pergi melakukan ibadah di sana. Cuma, masyarakat perlu bersedia untuk tanggung kenaikan harga terbabit.
“Kami sebagai ejen pelancong, keuntungan kami tidak terlalu tinggi, justeru kami tidak mampu menampung kenaikan harga tersebut ,” jelasnya.
Terdahulu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memaklumkan, kenaikan harga dipercayai berpunca daripada permintaan hotel yang tinggi terutama di Madinah berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah dari seluruh dunia selepas pembukaan sempadan selepas pandemik Covid-19 beransur pulih.
Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd. Azri Abd. Razak berkata, bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak.
“Hal ini dikhuatiri menimbulkan kemarahan jemaah umrah yang mendesak untuk menurunkan kadar pakej umrah bagi mengekalkan harga yang ditawarkan oleh agensi pelancongan masing-masing.
“Pihak agensi pelancongan juga menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun telah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel.
“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Azri berkata, dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, semua jemaah umrah bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Mekah.
Selain itu kata beliau, MATTA juga mendapat aduan jemaah umrah berkenaan kesulitan membawa pulang air zamzam terutamanya di lapangan terbang Jeddah dan telah mengutarakan isu tersebut kepada Saudi Tourism Authority (STA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kebenaran membawa pulang air zamzam menggunakan visa pelancong.
“MATTA berharap dapat mengadakan pertemuan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk berbincang dan menangani isu yang serius sebegini agar pihak jemaah tidak menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Mekah dari sudut aspek kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan,” katanya. – UTUSAN










