BENGALURU: Harga minyak mentah meningkat sedikit pada awal dagangan di Asia semalam, dalam pasaran tertumpu pada prospek pemulihan permintaan daripada pengimport utama iaitu China dan prospek ekonomi global mendahului pendapatan syarikat.
Minyak mentah Brent meningkat lima sen kepada AS$88.24 setong, manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 13 sen kepada AS$81.75 setong, ketika berita ini ditulis.
Sementara itu, harga emas meningkat didorong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah, sementara pelabur menunggu data ekonomi negara itu di tengah-tengah harapan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan oleh Rizab Persekutuan (Fed).
Emas spot naik 0.2 peratus kepada AS$1,935.69 seauns pada sesi dagangan awal semalam, sementara niaga hadapan emas AS meningkat 0.4 peratus pada AS$1,936.
Indeks dolar susut 0.2 peratus. Dolar AS yang lebih lemah menjadikan jongkong berharga dolar lebih mampu dimiliki oleh ramai pembeli, lapor Reuters.
Pelabur kini tertumpu pada anggaran pertumbuhan KDNK suku keempat AS yang akan dikeluarkan pada Khamis.
“Sebarang tanda ekonomi AS yang lebih lemah akan diambil sebagai sebab untuk Fed kurang agresif mengetatkan kadar faedah, dan itu boleh menyokong emas yang juga akan menerima aliran selamat,” menurut Matt Simpson, penganalisis pasaran kanan di City Index.
Kata beliau, angka-angka yang mengecewakan mungkin membantu emas naik melebihi AS$1,960, tetapi sukar melepasi kadar AS$2,000.
Peniaga kebanyakannya menjangkakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp) oleh Fed pada mesyuarat dasar 31 Januari hingga 1 Februari ini, selepas memperlahankan kenaikan kepada 50 mata asas pada Disember, selepas kenaikan 75 mata asas dalam empat kenaikan berturut-turut sebelum ini.
Kadar faedah yang lebih rendah cenderung memberi manfaat untuk bulion, mengurangkan kos peluang untuk memegang aset yang tidak mendatangkan pulangan.
Dari segi fizikal, India dijangka mengurangkan duti import ke atas emas, yang boleh meningkatkan jualan runcit dengan menjadikan logam itu lebih murah menjelang musim permintaan memuncak dalam kalangan pengguna emas kedua terbesar dunia itu.
Dalam pada itu, perak spot naik 0.4 peratus kepada AS$23.54 seauns. Perak digunakan dalam aplikasi fotovoltaik termasuk panel solar.
Dengan pembukaan semula ekonomi China dan kurang gangguan daripada Covid, ia boleh menyokong permintaan untuk fotovoltaik daripada perak pada tahun-tahun berikutnya, kata penganalisis di Heraeus Precious Metals dalam satu nota.
Platinum pula naik 0.8 peratus pada AS$1,054.88, dan paladium naik 0.6 peratus kepada AS$1,713.88. – AGENSI










