Hansmin serikan lebih 500 pengantin sebulan

Hansmin serikan lebih 500 pengantin sebulan

SETELAH melalui kesukaran membina jenama, kini Hansmin Couture berkembang dan mempunyai 15 pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDUR beralaskan kotak di dalam butik kosong dan berulang-alik sehingga 30 kali menaiki motosikal membawa barangan pelamin antara pengalaman sebelum nama Hansmin Couture terkenal hari ini.

Diasaskan oleh dua anak muda yang kini berusia 25 tahun, Muhammad Nazierul Haniff Abdul Rasif dan Muhammad Amin Hafiz Rosli pada 2013, sudah tentu perjalanan perniagaan mereka bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi.

Muhammad Nazierul Haniff berkata, mereka tidak pernah menjadikan pinjaman sebagai jalan singkat sebaliknya mereka berusaha mengumpulkan duit gaji sejak di bangku sekolah untuk mencapai impian membuka sebuah butik pengantin.

Ujar beliau, ibu bapanya hanya peniaga pisang goreng jadi beliau dan Amin bekerja sambilan di pelbagai kedai berhampiran rumah mereka di Klang, dan kesemua duit gaji tersebut akan disimpan sebagai modal perniagaan.

“Pada 2016, saya memberanikan diri menyewa sebuah kedai di GM Klang dengan modal RM12,000 sebagai deposit sewa.

“Bila difikirkan, memang kerja gila kerana kami masih belum ada produk, namun sudah menyewa kedai. Setiap malam saya tidur di butik itu beralaskan kotak sambil memikirkan langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui di Butik Hansmin Couture, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Muhammad Nazierul Haniff ketika ditemui di Butik Hansmin Couture, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, untuk mendapatkan pelanggan, mereka mula mengiklankan promosi baju pengantin berharga RM300 di Facebook dan akhirnya berjaya mendapatkan pelanggan pertama.

Dalam masa sama, mereka turut menyediakan perkhidmatan pemasangan pelamin dan pernah suatu ketika menaiki motosikal dan berulang-alik lebih 30 kali dari rumah ke dewan untuk membawa semua peralatan pelamin.

“Ketika itu kami hanya ada motosikal namun, kami nekad mengambil tempahan tersebut kerana mahu buktikan yang kami serius dengan perniagaan ini.

“Jadi, Amin bawa motosikal dan saya menggendong barangan di belakang. Bayangkan kami ulang-alik lebih 30 kali untuk membawa semua peralatan.

“Tiba-tiba, semua ahli keluarga saya datang ke tempat pemasangan pelamin untuk membantu kami. Saya sangat terharu ketika itu sehingga me­nitiskan air mata. Waktu itu, saya ce­kalkan hati dan menanamkan niat untuk berjaya agar dapat membantu keluarga,” ujarnya.

Ditanya bagaimana timbul minat dalam perniagaan perkahwinan, beliau berkata, minatnya bermula dari kecil apabila dia sudah pandai menggubah hantaran perkahwinan pada usia lima tahun, kemudian menghias pe­lamin pada usia 16 tahun.

“Saya seorang yang berani mencuba. Pada usia 16 tahun, pelamin pertama yang dihias adalah pelamin perkahwinan pakcik saya. Ketika itu memang tiada peralatan dan saya membeli kerusi pelamin dengan menaiki bas,” katanya.

Muhammad Nazierul Haniff menunjukkan koleksi baju pengantin terbaharu yang dihasilkannya.

Anak sulung daripada enam adik-beradik lelaki itu berkata, pada 2018, butik Hansmin Couture berpindah ke premis tiga tingkat di Pelabuhan Klang dan kini, sewaan baju pengantin butiknya sudah mencecah lebih 500 pelanggan sebulan yang datang dari seluruh negara.

“Saya tidak berkira dengan pelanggan kerana apa yang saya lakukan lebih kepada minat. Jadi, saya akan pastikan pelanggan saya sentiasa berpuas hati dengan hasil yang diberikan dan mereka tampil cantik di hari persandingan.

“Saya sering melakukan pro­mosi harga sewaan baju, pelamin dan sebagainya. Menariknya, apabila pelanggan telah mengambil harga promosi tersebut, mereka boleh menggunakannya pada bila-bila masa dan boleh menjual pakej tersebut kepada orang lain sekiranya sesuatu berlaku seperti putus tunang dan sebagainya.

“Itu adalah satu cara yang boleh saya fikirkan supaya para pelanggan saya tidak akan rugi dan kita dalam situasi menang-menang,” ujarnya.

Menyentuh perancangan ma­sa depannya, Muhammad Nazierul Haniff berkata, beliau mahu mengembangkan perniagaan dengan menceburi perniagaan pakaian siap (RTW) dan mengimpikan untuk membuka sebuah dewan perkahwinan sendiri.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk ibu bapa dan adik-adik saya. Saya mempunyai sasaran iaitu menghadiahkan rumah untuk setiap adik-beradik saya kerana saya tidak mahu mereka merasai kesusahan hidup se­perti saya dulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.