PETALING JAYA: Ever Clean, jenama pasir kucing premium, menyumbang 3,700 kilogram pasir kucing kepada Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS (PAWS) dalam usaha menyokong misi persatuan meningkatkan kebajikan haiwan berkenaan.
PAWS, sebuah pusat perlindungan haiwan bukan berasaskan keuntungan, telah beroperasi sejak 1987, membantu haiwan yang memerlukan pertolongan dengan menyediakan tempat perlindungan, vaksinasi, memberikan ubat
cacing, pemandulan, pengangkatan dan pendidikan umum.
Ketua Pemasaran Asia Tenggara The Clorox Company, Monuque Gonzales berkata, membantu kucing berkembang dalam persekitaran yang sihat merupakan tumpuan jenama syarikat itu.
“Sehubungan itu, kami amat teruja untuk membuat perubahan dalam kehidupan kucing-kucing ini melalui sumbangan Ever Clean Lightly-Scented Multiple Cat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, diperbuat daripada campuran premium mineral dan tanah liat tulen serta semulajadi, yang memberikan kuasa penggumpalan maksimum, Ever Clean menghalang sisa cecair kucing daripada mencecah bahagian bawah kotak pasir di mana ia boleh terurai dan menghasilkan bau.
Katanya, Ever Clean menawarkan pembersihan yang mudah.
“Dengan sedikit usaha yang diperlukan untuk pembersihan akan memberikan lebih masa kepada pasukan PAWS untuk menumpu keperluan haiwan-haiwan lain yang mendesak,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengurus Pusat Perlindungan PAWS, Edward Lim berkata, PAWS telah mengalami peningkatan dalam jumlah haiwan di bawah jagaannya, di mana terdapat 263 kucing di pusat perlindungan tersebut iaitu 80 kucing dewasa
dan 183 anak kucing.
“Sumbangan Ever Clean dianggarkan mampu bertahan selama 2 hingga 3 bulan. Sumbangan pasir kucing seperti ini sangat membantu kami memenuhi misi kami dalam membantu haiwan-haiwan yang memerlukan serta memperkayakan kehidupan haiwan peliharaan dan orang ramai.
“Kami amat menghargai Ever Clean atas sumbangan yang ikhlas ini dan menggalakkan agar lebih banyak syarikat mengambil bahagian dan menyokong kami dalam sebarang cara yang mungkin. Kami percaya bahawa dengan bekerjasama, kita boleh membuat perubahan dalam kehidupan haiwan-haiwan ini, dan membantu mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk mereka,” katanya. – UTUSAN










