DMmart pusat sehenti bantu usahawan tempatan

DMmart pusat sehenti bantu usahawan tempatan

MOHD. ALI Mohd. Rustam menunjukkan produk usahawan di DMmart Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: DMWorld melalui DMmart bersama DMfresh yang ditubuhkan oleh Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan menjadi pusat sehenti bagi memasarkan produk usahawan tempatan untuk diketengahkan ke pasaran domestik dan global.

Pengerusi Biro Ekonomi DMDI, Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, DMWorld ditubuhkan setelah melihat kebolehpasaran produk usahawan untuk diketengahkan di peringkat global melalui platform DMDI yang mempunyai keanggotaan sebanyak 23 buah negara.

Menurutnya, sebagai permulaan produk-produk itu boleh diletakkan di empat cawangan DMmart di negeri ini bagi melihat kebolehpasarannya.

“Sebanyak 50 usahawan telah berdaftar dengan DMWorld sepanjang November hingga Disember 2022, namun kita telah mengenal pasti hanya 13 daripada mereka yang telah bersedia untuk produk dieksport.

“Bagi tujuan pengukuhan pasaran, kita telah merancang untuk menyertai beberapa program di luar negara anjuran Sekretariat DMDI di luar negara seperti Muslim Fest di Singapura dan Konvensyen DMDI di Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Program dan Pengenalan Produk Usahawan disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di DMart Bukit Beruang di sini, semalam.

Mohd. Ali turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Biro Ekonomi DMDI bersama Malaysia Franchise Digital Association (MFDA) yang diwakili Pengerusi Kehormatnya, Datuk Seri Hasnizal Hassan.

Tambah Azreen, pihaknya juga sedia membantu usahawan tempatan melalui kerjasama dengan rakan strategik terdiri daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sirim Berhad (Sirim), Kraftangan dan SME Corp.

“Seramai 13 usahawan yang akan memasarkan produk mereka ke 23 negara anggota DMDI akan dibantu daripada segi pembungkusan, berat produk, kualiti, pensijilan serta pelbagai lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya