PETALING JAYA: CTOS Digital Berhad (CTOS) baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Nikkei Inc. (Nikkei), salah satu kumpulan media perniagaan terbesar di dunia, beribu pejabat di Jepun.
Matlamat kerjasama baharu ini adalah untuk menggalakkan penggunaan berita dan data korporat secara efektif, yang akan disediakan oleh kedua-dua pihak.
Menurut CTOS, kedua-dua pihak akan membangunkan perkhidmatan pemantauan berita di platform CTOS melalui scoutAsia.
“CTOS dan Nikkei juga akan meneroka peluang untuk memperkasakan produk dan platform Nikkei dengan menggunakan perniagaan dan maklumat perniagaan global CTOS.
“ScoutAsia ialah sebuah platform data syarikat dan berita yang berfokuskan Asia yang dibina bersama Nikkei dan The Financial Times dengan matlamat untuk membantu pelanggan membuat keputusan yang berasaskan pengetahuan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Erick Hamburger berkata, data dan analitik adalah asas kepada semua yang syarikat lakukan di CTOS.
“Kemampuan mengembangkan jenis data yang kami tawarkan kepada pelanggan kami, dan pada masa yang sama memperluaskan perkhidmatan kami di seluruh Asia bersama Nikkei adalah satu langkah ke hadapan yang penting untuk kami di rantau
ini,” katanya.
Pegawai Pengurusan Eksekutif di Nikkei Inc., Toshio Machida pula berkata, Nikkei telah melabur secara aktif di Asia, membangunkan teknologi dan menjalinkan kerjasama dengan pembekal maklumat global yang terbaik.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan CTOS bagi meneroka inisiatif baru untuk menawarkan pengetahuan perniagaan yang lebih mendalam kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN










