CCCECRL bantu mangsa banjir di Pantai Timur

CCCECRL bantu mangsa banjir di Pantai Timur

Dari kanan: Deng Bo bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan bantuan bencana banjir kepada mangsa banjir di Pantai Timur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL) komited membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur melalui usaha-usaha yang berterusan.

CCCECRL adalah kontraktor kejuruteraan, pembinaan, perolehan dan pentauliahan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia.

Menurut Timbalan Pengarah Projek merangkap Ketua Jurutera CCCECRL, Deng Bo, syarikat bersama Malaysian Rail Link (MRL) telah menyumbangkan 800 set bantuan bencana banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

“Kami menzahirkan rasa simpati terutamanya kepada semua yang terkesan dalam bencana ini. CCCECRL akan sentiasa bersama dengan mangsa banjir Pantai Timur, termasuk memberikan bantuan dalam apa jua keadaan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memantau situasi banjir,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, CCCECRL juga telah menyediakan tiga trak daripada Seksyen 3 untuk membantu proses pengagihan bantuan kepada mangsa-mangsa di Hulu Setiu, Terengganu melalui kerjasama erat dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.

Bahagian Seksyen 3 juga kata beliau, telah menyediakan tiga lagi trak untuk membantu memindahkan mangsa banjir dari Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus ke Sekolah Kompleks Gong Badak Kuala Nerus.

Seksyen 2 pula katanya, telah mempersiapkan 28 trak dan 32 sukarelawan untuk membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Pasir Puteh, Besut dan Setiu di Kelantan dan Terengganu beberapa hari lalu dalam sebuah operasi menyelamat yang telah mengambil masa 11 jam.

“Operasi tersebut telah berjaya memindahkan lebih 200 mangsa banjir dengan selamat ke sebuah tempat perlindungan sementara,” jelas beliau.

Bo berkata, Bahagian Seksyen 3 juga mengambil bahagian dalam memindahkan mangsa-mangsa yang terjejas dengan sumbangan bantuan seperti tilam, peralatan tempat tidur, makanan serta bekalan kecemasan lain.

Setakat ini, CCCECRL jelasnya, telah menyediakan 30 trak dan jentera bagi memindahkan penduduk setempat di Kelantan dan Terengganu selain menempatkan barangan milik mereka ke tempat yang lebih selamat.

“Selain itu, CCCECRL juga telah menyampaikan bantuan bencana banjir kepada komuniti yang terjejas di negeri-negeri Pantai Timur tersebut. Kami akan terus berhubung dan memberikan bantuan melalui pihak berkuasa kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya dalam waktu-waktu sukar seperti ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN